NILAI: Pelumba Sarawak, Adib Andhar Andan mencipta sejarah apabila muncul pelumba pertama dari negeri itu menjuarai acara keirin sejak berbasikal trek dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2011.
Lebih manis, kejayaan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini hadir pada penampilan terakhir Adib di pentas SUKMA, sekali gus melengkapkan impian yang pernah gagal direalisasikannya ketika beraksi dalam acara lebuh raya pada edisi 2024 di Sarawak.
Adib menganggap emas itu sebagai antara impian terbesar dalam kariernya, apatah lagi kejayaan tersebut membolehkan dia akhirnya menghadiahkan pingat kepada Sarawak selepas gagal berbuat demikian ketika menjadi wakil negeri pada SUKMA terdahulu.
“Emas SUKMA ini merupakan impian saya dan sangat gembira. Kali terakhir Sukma Sarawak saya main lebuh raya tapi semasa itu tidak dapat hadiahkan apa-apa untuk Sarawak, tetapi alhamdulillah this year saya dapat hadiahkan emas untuk Sarawak,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Adib mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menumpaskan wakil Johor, Ahmad Danial Haiqal Ahmad Rifaiee manakala pelumba Negeri Sembilan, Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun melengkapkan podium acara tersebut.
Pelumba berusia 21 tahun itu turut mendedikasikan emas berkenaan kepada ibunya, Rohayu Elhi yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 20 Ogos, sebelum terus menghubunginya selepas perlumbaan dan tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan berita gembira itu.
“Perasaan saya, nak cakap macam-macam perasaan, gembira ada, sebak sebab terlalu gembira, dan emas ini menjadi hadiah hari lahir ibu saya.
“Ketika ini, ibu saya ada di Sarawak dan hanya ayah yang menemani saya di sini. Saya membuat panggilan dan menangis kepada dia dan berterima kasih atas doanya,” katanya.
Menariknya, Adib hanya mula serius dalam acara trek tahun lalu tetapi peningkatan pantas menyaksikannya sudah beraksi di Piala Dunia dan Kejohanan Trek Asia (ACC) tahun ini, pengalaman yang menurutnya melonjakkan keyakinan untuk berdepan pelumba terbaik di pentas SUKMA.
Selepas melakar sejarah di keirin, Adib kini mengintai emas kedua menerusi acara pecut esok sebelum berlepas ke Bangkok untuk menyertai Piala Trek Thailand pada 28 Ogos ini.
Dalam saingan wanita menyaksikan, pelumba Johor, Nur Alyssa Mohd Farid membuktikan statusnya sebagai atlet kebangsaan apabila meraih emas keirin sekaligus menewaskan wakil tuan rumah, Yong Ann Tung serta wakil Pulau Pinang, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak di tempat ketiga. – UTUSAN


