Penyanyi dan pelakon, Fauziah Ahmad Daud berkongsi berita duka memaklumkan adik lelaki tunggalnya, Allahyarham Faizal baru sahaja menghembuskan nafas terakhir akibat masalah kesihatan batu karang dalam hempedu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy di Instagram miliknya yang berharap agar mana-mana pihak mengenali Allahyarham adiknya itu akan memaafkan segala salah dan silapnya.
“Saya kehilangan adik lelaki saya pada hari ini. Saya memohon maaf bagi pihak Allahyarham Fazal Haji Ahmad Daud, kalau ada salah silap beliau selama di atas muka bumi ini.
“Kalau allahyarham ada hutang tertunggak, boleh hubungi saya. Tolong doakan yang baik-baik untuk adik saya.
“Dia anak, suami, abang dan adik yang sangat baik, sentiasa menyayangi anak-anaknya. Ya Allah, ampunilah segala dosa arwah adik aku,” ujarnya menitiskan air mata.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro difahamkan Allahyarham Faizal telah dimasukkan ke hospital sejak Oktober lalu.
Ternyata, Allahyarham Faizal sudah lama menghidap penyakit tersebut namun memilik untuk merahsiakan daripada adik-beradik.
“Arwah meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi di kediamannya di Taiping, Perak. Sebelum ini, arwah dimasukkan ke hospital akibat masalah batu karang dalam hempedu.
“Walaupun sudah melakukan pembedahan, namun tahap kesihatannya terus merosot dan lemah,” katanya.
Jenazah Allahyarham Faizal dari Taiping akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor selepas solat Zuhur.
Sumber: Harian Metro




