AG Hot FM borong habis makanan di Bazar Ramadan

AG Hot FM borong habis makanan di Bazar Ramadan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang peniaga wanita di Bazar Ramadan Jalan Telawi, Bangsar, di sini, terkejut apabila penyampai radio Hot FM, AG membeli semua juadah yang dijualnya untuk disedekahkan kepada pengunjung lain.

Menerusi video yang dikongsi di TikTok Hot FM, AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, 45, berjalan-jalan di sekitar situ dan tertarik dengan gerai jualan wanita warga emas terbabit yang dibantu anaknya.

Dia kemudian menghampiri gerai berkenaan dan berbual-bual dengan wanita itu sebelum AG berminat membantu peniaga ini dengan membeli semua barangan jualannya.

Ia sekali gus membuatkan wanita ini terkejut, namun pada masa sama bersyukur kerana makanan jualannya iaitu popia sayur, ketupat palas dan nasi ayam kicap habis diborong AG.

Difahamkan, AG menghabiskan RM500 untuk membeli kesemua juadah itu.

Perkongsian video ini mendapat lebih 30,000 tanda suka dan lebih 1,000 komen yang memuji apa yang dilakukan AG.

Malah, anak peniaga terbabit iaitu Syahida turut memberikan komen memuji tindakan terpuji AG.

“Alhamdulillah terima kasih abang AG bantu habiskan jualan di gerai saya hari ini. Jelas wajah gembira pada mak saya. Syukur sangat-sangat semoga dimurahkan rezeki selalu,” tulisnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top