Agamawan yang ‘makan’ harta orang ramai

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

ALLAH S.W.T berfirman:

Advertisement

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ 

أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ 

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam)…”

(at-Taubah: 34)

Pesanan buat orang yang beriman, Allah S.W.T menceritakan mengenai perangai agamawan Yahudi dan Kristian yang menjadi budaya:

(a) Makan harta orang ramai dengan cara yang salah.

(b) Menghalang manusia daripada jalan Allah S.W.T.

Agamawan yang ‘makan’ harta haram

Imam Ibnu Kathir menghuraikan ayat ini dengan menyatakan bahawa antara budaya mereka ialah makan rasuah atau sogokan السحت  berdasarkan Surah al Maidah ayat 63.

Beliau menyatakan;

التحذير من علماء السوء وعباد الضلال

“Berwaspada daripada ulamak yang jahat dan ahli ibadah yang sesat.”

Ini kerana الأحبار  adalah ulamak Yahudi, manakala الرهبان  adalah ahli ibadah Kristian.

Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Sufian bin Uyaynah:

من فسد من علمائنا كان فيه شبه من اليهود ، ومن فسد من عبادنا كان فيه شبه من النصارى 

“Antara faktor rosaknya ulamak kita apabila terdapatnya perangai Yahudi. Manakala kerosakan ahli ibadah kita apabila terdapatnya perangai Nasrani (Kristian).”

Imam Ibn Kathir menyatakan lagi:

وذلك أنهم يأكلون الدنيا بالدين ومناصبهم ورياستهم في الناس

“Mereka memakan harta manusia secara salah itu bermaksud mereka merembat kepentingan dunia dengan menunggang agama dan dengan kedudukan atau pangkat mereka di kalangan manusia.”

Menyekat dan memalsukan kebenaran

Allah S.W.T berfirman di dalam ayat tadi:

وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ 

Allah S.W.T menyatakan bahawa golongan agamawan Yahudi dan Kristian yang memakan harta orang ramai secara salah itu, bertindak menghalang manusia daripada jalan kebenaran

Imam Ibn Kathir menyatakan:

وهم مع أكلهم الحرام يصدون الناس عن اتباع الحق ، ويلبسون الحق بالباطل ، ويظهرون لمن اتبعهم من الجهلة أنهم يدعون إلى الخير ، وليسوا كما يزعمون ، بل هم دعاة إلى النار ، ويوم القيامة لا ينصرون .

“Mereka itu, dengan perangai memakan harta yang haram itu, menyekat manusia daripada mengikuti jalan kebenaran. Mereka memutarbelitkan kebenaran dengan kebatilan. Mereka menzahirkan di hadapan pengikut mereka, bahawa mereka itu menyeru ke arah kebaikan, sedangkan mereka bukan sepertimana yang disangka. Bahkan mereka itu menyeru ke arah neraka, dan di akhirat kelak tidak akan mendapat pertolongan.”

Di sini jelas perangai agamawan yang memakan harta orang ramai secara salah, berusaha untuk memalsukan kebenaran, mengelirukan dan cuba menggambarkan diri mereka itu penyeru kepada kebenaran. 

Pemerintah yang memeram harta

Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“… Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa golongan ketiga ini ialah golongan pemerintah. Beliau menyatakan maksud الكنز di dalam ayat ini ialah;

هو المال الذي لا تؤدى منه الزكاة

“Iaitu harta yang tidak diambil daripadanya untuk dibayar zakat.”

Di sini kita boleh faham bahawa harta yang diperam itu adalah harta-harta yang sepatutnya diambil untuk dijadikan zakat bagi membantu golongan miskin, tetapi para pemerintah berbuat demikian.

Tiga golongan yang merosakkan

Dalam tafsiran ayat ini, Imam Ibn Kathir menyatakan:

هؤلاء هم القسم الثالث من رءوس الناس ، فإن الناس عالة على العلماء وعلى العباد وعلى أرباب الأموال ، فإذا فسدت أحوال هؤلاء فسدت أحوال الناس

“Mereka ini (ulamak yang jahat, ahli ibadah yang sesat dan pemerintah yang memeram harta) adalah pimpinan manusia. Sesungguhnya manusia bergantung pada ulamak, ahli ibadah dan pengurus harta. Apabila rosaknya golongan ini, rosaklah manusia.”

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/3/2021