Eksploitasi anak muda, media dan agamawan

DALAM realiti hari ini, terdapat tiga kelompok yang sekiranya dimanfaat dengan cara yang betul akan memberi kesan yang baik kepada negara. Iaitu anak muda, media dan agamawan. Tetapi ketiga-tiga ini jika gagal dimanfaatkan, atau digunakan dengan tujuan yang salah, maka rosaklah sesebuah pemerintahan. Mengimbau sejarah kejatuhan Kerajaan Uthmaniah, tiga kelompok ini ternyata turut berperanan besar dalam tujuan yang salah. 

Eksploitasi semangat anak muda

Kesatuan anak muda menjadi medium paling berkesan untuk menggugat pihak atasan. Jika tujuannya baik, maka baiklah, begitu juga sebaliknya. Anak muda melalui Kesatuan Ittihad Wattaraqqi digembleng sepenuhnya untuk menjatuhkan Sultan. Demonstrasi jalanan di merata tempat amat berkesan untuk meyakinkan orang ramai dengan laungan kembalikan dustur. Untuk maklumat lanjut berkaitan pergerakan Kesatuan Ittihad Wattaraqqi rujuk tulisan ini [1]. 

Advertisement

Suatu yang amat dikesali bahawa, kebangkitan anak muda melawan Uthmaniah dan berkiblatkan Barat lalu mudah diperalat turut berpunca daripada kesilapan Uthmaniah itu sendiri. 

Eksploitasi media massa

Hanya mengharap laungan anak muda di jalanan tidaklah begitu ampuh untuk mengheret Sultan yang masih lagi dekat dengan rakyat. Sangkaan mereka dengan demonstrasi dan desakan dari orang ramai akan berjaya menjatuhkan Sultan, bahkan Sultan pula bersedia memenuhi permintaan mereka. Ia memerlukan lagi beberapa dukungan lain termasuklah ruang media. 

4 tuduhan besar dipalitkan kepada Sultan dan disebarkan ke seluruh wilayah Uthmaniah. Pertama, merancang peristiwa 31 Mac yang mengorbankan ramai anak muda. Kedua Sultan membakar al-Quran. Ketiga Sultan seorang yang boros mengurus harta rakyat dan keempat seorang yang zalim lagi kejam. Kesemua ini diatur supaya menambah lagi keyakinan orang ramai bahawa tuduhan mereka terhadap Sultan bukan omong kosong. Bahkan seruan untuk kembali kepada Allah dan Rasul dan berhukum dengannya demi menyelamatkan negara dan khilafah.

Eksploitasi agamawan dan mufti

Untuk menjatuhkan individu yang berpengaruh, mestilah dengan pengaruh yang seimbang atau lebih kuat. Pastinya mufti dan ulamak mempunyai kedudukan yang tinggi pada mata umat. Sebagaimana Syeikh Izzuddin Abd Salam berfatwa melawan Tatar, begitu juga Syeikh Aaq Shamsuddin dengan Sultan Muhammad Al Fateh. Malangnya ia tidak berlaku kepada Sultan Abdul Hamid. 

Mufti pada ketika itu Syeikh Muhammad Dhiauddin bersidang pada tanggal 27 April 1909, pada hari Selasa dengan mengumpulkan seramai 240 orang agamawan untuk memutuskan perlucutan jawatan Sultan Abdul Hamid. Majlis Persidangan yang disebut sebagai Majlis Al Mab’uthin secara ijmak memutuskan wajibnya melucutkan Khalifah Abdul Hamid II dari takhta tersebut. 

Kepahitan yang perlu ditelan

Yang menjadikan peristiwa perlucutan Khalifah ini amat tragis kerana ia turut disaksikan oleh musuh iaitu Emmanual Carasso, seorang Yahudi dan Aromea daripada Armenia.

Sultan Abdul Hamid dalam catatan memoirnya menyebutkan:

“Apa yang menyedihkan aku bukanlah kerana perlucutan ini, tetapi perlakuan buruk oleh As’ad Basha yang amat jelek, begitu juga peristiwa 31 Mac yang langsung aku tidak tahu hujung pangkalnya dan satu lagi” (sambil menuding jari ke arah Emmanual Carasso) lalu berkata “apa yang Yahudi ini lakukan dengan jawatan Khalifah? Apa tujuan (perancangan) kalian sampai lelaki ini (Carasso) dibawa dihadapan aku?”

Ternyata hingga ke hari ini, tiga kelompok ini dengan hanya sedikit dorongan, boleh menjadi alat untuk kepentingan pihak tertentu.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN – HARAKAHDAILY 4/3/2021

Rujukan: 

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221652046150114&id=1222987424
[2] Ad Daulah Uthmaniyah Dr. Ali Mohamad As Solabi