Agihan zakat perlu bantu asnaf bandar

AGENSI Mengurus Zakat (AMZ) yang khususnya terletak di Lembah Klang seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memainkan peranan penting sebagai jaring keselamatan sosial.

Bantuan zakat kewangan bulanan, agihan barangan keperluan asas menerusi Tabung Makanan atau gerobok rezeki (Food Bank) dan bantuan sewa rumah disalurkan secara langsung kepada asnaf fakir dan miskin di bandar.

Intervensi kewangan ini berupaya menampung jurang perbelanjaan asas isi rumah sekaligus mengelakkan mereka daripada jatuh ke dalam krisis kewangan yang lebih meruncing.

Bagi mengoptimumkan agihan zakat yang berkesan khususnya kepada asnaf yang menjadi miskin bandar,

AMZ perlu memastikan kutipan zakat dijalankan secara kreatif dan inovatif serta mengikut trend semasa yang melibatkan syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di Lembah Klang dan Selangor.

Perkembangan pesat arus pembiayaan mampan telah mewajibkan syarikat MNC dan syarikat senaraian awam untuk mengemukakan Laporan Kelestarian berasaskan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) setiap tahun.

Ini membuka ruang dan peluang baharu yang amat luas kepada AMZ di Malaysia untuk memposisikan zakat korporat bukan sekadar kewajipan agama, malah sebagai instrumen pelaburan sosial berimpak tinggi yang mampu memenuhi tonggak utama dalam penilaian ESG syarikat berkenaan.

Pegawai atau Unit Khas ESG dan SDG di AMZ bertindak sebagai penterjemah dan pemudah cara antara kehendak syarak dengan piawaian pelaporan antarabangsa seperti Global Reporting Initiative (GRI) atau International Sustainability Standards Board (ISSB).

Pegawai khusus ini mempunyai kepakaran untuk menstrukturkan naratif pengagihan zakat agar selaras dengan bahasa korporat dan kerangka Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG).

Kehadiran pegawai ini juga membolehkan AMZ berurusan secara profesional dengan jawatankuasa kelestarian korporat di peringkat MNC.

Melalui kepakaran pegawai ESG dan SDG, dana zakat yang dibayar oleh syarikat MNC boleh dipetakan secara khusus kepada pencapaian matlamat pembangunan lestari terutamanya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 8 (Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi).

Penyelarasan bersasar ini membolehkan syarikat MNC melihat dengan jelas bagaimana setiap wang ringgit yang disalurkan sebagai dana zakat memberi impak langsung kepada pemerkasaan sosioekonomi masyarakat setempat khususnya miskin bandar secara mampan dan berkesan.

Penglibatan pegawai ESG dan SDG dalam AMZ merupakan langkah untuk memastikan AMZ kekal relevan dalam lanskap ekonomi global yang berteraskan kelestarian.

Ini bukan sahaja berupaya melonjakkan kadar kutipan zakat daripada sektor korporat tempatan dan antarabangsa malah mengangkat AMZ sebagai peneraju yang mengintegrasikan sistem kewangan sosial Islam dengan agenda pembangunan kelestarian sejagat. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN

Unit Penyelidikan Shariah dan Undang-Undang Perniagaan Islam (SHURA)

Pusat Pengajian Undang-Undang

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Scroll to Top