Kuala Lumpur : Selepas sering tampil dengan karya yang sarat emosi, penyanyi asal Singapura, Asya’B kini menampilkan transformasi seni menerusi single terbaharunya berjudul Kau Ku Rindukan.
Karya yang mengetengahkan sentuhan pop rock lebih segar, catchy, dan bertenaga.
Penyanyi yang pernah dicalonkan dalam kategori Nova Media Baru pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2012 itu menyifatkan karya berkenaan sebagai langkah berani untuk memperkenalkan fasa baharu identiti muziknya.
Asya’B atau pemilik nama Nurasya Abdul Rahim sebelum ini pernah memperlahankan kerjaya seni demi melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya dalam bidang pendidikan sehingga bergelar pengetua sebuah prasekolah di Singapura.
“Lagu Kau Ku Rindukan mengisahkan perasaan merindui seseorang yang rapat di hati, tetapi disampaikan dalam suasana manis dan membahagiakan.
“Saya mahu beralih daripada lagu-lagu galau sebelum ini kepada genre pop rock yang bukan sahaja sedap didengar, malah mampu menghidupkan suasana ketika dipersembahkan di pentas.
“Pengalaman sebagai pengetua prasekolah yang mengendalikan kanak-kanak berkeperluan khas turut memberi saya kematangan dan perspektif baharu untuk lebih peka terhadap pelbagai emosi manusia dalam menyampaikan sesebuah karya,” katanya.
Penyanyi ini turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan Denis Chairis daripada kumpulan popular Indonesia, Nirwana Band, menerusi terbitan JAVS Production.
Akur dengan persaingan sengit industri muzik tempatan selepas lebih sedekad menyepi, Asya’B bagaimanapun tidak menganggap usia mahupun portfolio kerjaya hakikinya sebagai penghalang untuk memulakan semula impian yang pernah tertangguh.
“Saya kembali bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi meneruskan sesuatu yang memang sudah menjadi jiwa saya.
“Untuk tempoh setahun ini, saya menyasarkan demi melahirkan lebih banyak single dan mengimpikan peluang berduet dengan Ratu Rock negara, Ella serta legenda Indonesia, Kris Dayanti,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
