Agong, Permaisuri ucap takziah kepada waris Ujang Mormin

Port Dickson: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada waris veteran perang dunia kedua Prebet Ujang Mormin yang meninggal dunia semalam.

Ucapan Seri Paduka berdua itu disampaikan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada sidang media selepas upacara pengebumian yang turut dihadiri cucu saudara Allahyarham Ujang, Lailawati Jamil, 59.

Zamrose berkata, ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua dizahirkan menerusi surat yang diutuskan kepada waris Allahyarham melalui pegawai pengiring Baginda.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan memberi sumbangan ampun kurnia kepada waris Allahyarham,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Panglima Tentera Darat itu turut menyampaikan ucapan takziah oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seluruh warga Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ujang, 100, selamat dikebumikan di Pusara RAMD di sini, pada kira-kira jam 2.20 petang tadi dalam suasana norma baharu yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Upacara pengebumian yang berlangsung ringkas dengan diselubungi suasana pilu dalam kalangan waris dan anggota tentera turut memberi penghormatan terakhir.

“Disebabkan Covid-19 ini, kita terpaksa melaksanakan acara pengebumian secara norma baharu. Bagaimanapun Tentera Darat masih mengambil inisiatif melaksanakan pengebumian untuk menghargai sumbangan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam Tentera Darat,” kata Zamrose.

Beliau berkata Tentera Darat melalui Yayasan RAMD, Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia dan Kelab Pegawai RAMD turut menyerahkan sumbangan kepada waris Allahyarham.

Sementara itu, Lailawati menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua anggota yang terlibat dalam menguruskan pengebumian datuk saudaranya itu.

Allahyarham Ujang yang berasal dari Kampung Kundur, Rembau meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor akibat Covid-19 pada pukul 5.05 petang semalam selepas dikesan positif pada 26 Jan lepas.

Allahyarham Ujang pernah bersama-sama wira perang Allahyarham Lt. Adnan Saidi ketika Pertempuran Pasir Panjang di Singapura menentang tentera Jepun pada 1942 semasa Perang Dunia Kedua. – Bernama

Malay News
National Desk