Agong, Putera Monaco lawat pusat konservasi Harimau Malaya, gajah

Agong, Putera Monaco lawat pusat konservasi Harimau Malaya, gajah

TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Putera Monaco, Putera Albert II berkenan melawat dua pusat konservasi haiwan di Lanchang di sini hari ini.

Berkenan berangkat ke pusat itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) yang mula beroperasi sejak Februari 2022 dan kini menempatkan lima ekor Harimau Malaya, termasuk dua yang diselamatkan daripada konflik harimau-manusia.

Harimau Malaya terbabit ialah Atan berusia empat tahun yang ditangkap di Kerteh, Terengganu dan Bihai berusia empat tahun setengah yang ditemui di Gua Musang, Kelantan.

MTCC yang beroperasi di kawasan seluas 80 hektar itu juga menjadi ‘lokasi perlindungan’ kepada tiga lagi Harimau Malaya yang diterima daripada tiga zoo di Malaysia.

Selepas MTCC, Seri Paduka dan Putera Albert II berkenan ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah (PKGKG) yang terletak kira-kira lapan kilometer, dengan lawatan bermula di Galeri Warisan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di situ.

PKGKG menempatkan 25 gajah dan gajah yang membuat penampilan di hadapan tetamu diraja ialah anak gajah betina berusia enam tahun dipanggil sebagai Elly.

Anak gajah itu ‘sinonim’ dengan PKGKG kerana menggunakan kaki palsu pada kaki depan sebelah kanannya, akibat terkena jerat dawai pemburu haram di Jeli, Kelantan.

Turut dipersembahkan ialah pertunjukan berinformatif oleh tujuh gajah, iaitu Kasturi, Pian, Abot, Alam, Rambai, Timor dan Lasah yang masing-masing ‘ditemani’ dua penjaga, termasuk gembala mereka.

Seterusnya, Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II juga berkenan memberi makan serta menyaksikan gajah bermain air di anak sungai di pusat konservasi itu. – UTUSAN