Agong, Raja Permaisuri berkenan ke majlis Santapan Beradat ulang tahun ATM ke-89

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan beradat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89 di Wisma Perwira ATM di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba pasangan diraja pada 8.40 malam disambut Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka berdua berkenan merakamkan foto kenangan bersama kepimpinan dan pegawai tertinggi ATM di lobi utama sebelum melawat pameran berskala kecil ATM dengan diiringi Affendi.

Majlis yang dihadiri 373 pegawai dan isteri daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM itu turut diserikan dengan acara memotong kek dan pulut kuning oleh Seri Paduka Baginda sempena ulang tahun ATM.

Pasangan diraja turut berkenan menyaksikan persembahan gabungan pancaragam oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu darat, laut dan udara.

Sumber: BERNAMA , Facebook Istana Negara