Harimau Malaya mengaum di Chiang Mai

Syafiq Ahmad diasak pemain Thailand semasa perlawanan Piala Raja Thailand 2022 di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai pada Khamis. – Foto FAM

HARIMAU Malaya mengesahkan slot perlawanan akhir Piala Raja Thailand 2022 selepas menjinakkan tuan rumah, Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Pada aksi di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu, anak buah Kim Pan-gon bermula garang apabila mengasak Thailand dengan permainan pantas.

Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi memulakan pencarian gol pasukan negara apabila menguji Kampon Phatomakkakul pada minit ke-17.

Gol dicari Harimau Malaya akhirnya dijelmakan pada minit ke-32 menerusi La Vere Corbin Ong yang menyempurnakan hantaran Safawi Rasid..

Babak kedua, Thailand tampil lebih tersusun kembali garang mencari gol penyamaan, namun digagalkan kecemerlangan Ahmad Syihan Hazmi.

Harimau Malaya kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Nor Azam Azih dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari pemain tuan rumah.

Brendan Gan cuba mengekang kemaraan pemain Thailand dalam perlawanan Piala Raja Thailand 2022 di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai pada Khamis. - Foto FAM

Brendan Gan cuba mengekang kemaraan pemain Thailand dalam perlawanan Piala Raja Thailand 2022 di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai pada Khamis. – Foto FAM

Kesempatan itu kemudian dimanfaatkan sepenuhnya Pansa Hemviboon mengikat kedudukan pada minit ke-95’ sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, Tajikistan mengesahkan slot perlawanan akhir selepas menewaskan Trinidad & Tobago 2-1 dalam satu lagi perlawanan di venue sama pada sebelah petangnya.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai Piala Raja Thai empat kali pada edisi 1972, 1976, 1977 dan 1978.