KOTA KINABALU – Pesawah kini boleh mendapatkan modal kerja lebih awal bagi menampung kos operasi penanaman padi sebelum hasil tuaian diperoleh menerusi produk Agro Padi-i Salam yang berasaskan kontrak Bai’ Salam iaitu kontrak jual beli patuh syariah pertama di Malaysia.
Kemudahan pembiayaan patuh syariah itu diwujudkan khusus bagi membantu pesawah mengurus kos operasi penanaman secara lebih sistematik, mampan dan inklusif, sekali gus mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi golongan berkenaan.
Agro Padi-i Salam berasaskan kontrak Bai’ Salam, iaitu kontrak jual beli patuh syariah yang pertama di Malaysia yang membolehkan pembiayaan disalurkan kepada pesawah berdasarkan hasil tuaian yang akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank berbangga menjadi institusi kewangan pertama di Malaysia yang memperkenalkan pembiayaan berasaskan kontrak Bai’ Salam khusus untuk pesawah.
“Inovasi ini mencerminkan komitmen kami untuk menerajui penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan sebenar sektor pertanian, di samping memperluaskan akses kepada pembiayaan patuh Syariah untuk komuniti pesawah.
“Melalui Agro Padi-i Salam, kami berharap dapat membantu pesawah memperoleh akses pembiayaan yang lebih mudah bagi mengurus kos operasi penanaman, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.
“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Agrobank dalam memperkukuh ekosistem padi dan beras negara demi menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Malaysia,” katanya semasa pelancaran produk terbaharu itu di sini, pada Selasa.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Syariah Agrobank, Ustaz Wan Rumaizi Wan Husin@Abdul Aziz; Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Presiden; Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Profesor Emeritus Datuk Seri Mohd Azmi Omar serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Melalui kemudahan itu, pesawah boleh mendapatkan pembiayaan bermula daripada RM1,000 sehingga RM50,000, bergantung kepada keluasan kawasan tanaman dan kos sebenar penanaman.
Tempoh pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga enam bulan bagi setiap musim penanaman, dengan kemudahan yang boleh diperbaharui sehingga lima tahun.
Produk itu ditawarkan kepada pesawah di dalam dan di luar kawasan jelapang yang mempunyai sistem pengurusan sawah yang tersusun, termasuk mereka yang menjual hasil kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kilang Padi Komersial (KPK) atau pembeli pihak ketiga.
Selain itu, pembiayaan berkenaan tidak memerlukan cagaran atau penjamin individu, sekali gus memudahkan akses kepada pembiayaan bagi golongan pesawah yang layak, iaitu pesawah individu yang berumur antara 18 tahun pada tarikh permohonan sehingga tidak melebihi 70 tahun pada tarikh matang pembiayaan.
Beliau dalam pada itu berkata, pembiayaan itu membantu pesawah mendapatkan modal sebelum musim penanaman bermula bagi menampung kos operasi seperti pembelian benih, racun dan sewaan jentera sehingga hasil tuaian diperoleh.
“Setiap tahun kita mempunyai sekitar 230,000 pesawah yang berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di seluruh negara dan sentiasa menerima permintaan pembiayaan modal daripada pesawah,” katanya.
Menurut beliau, pembiayaan itu turut menyokong penggunaan teknologi moden dalam industri padi termasuk pembelian jentera dan dron melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) serta pertubuhan peladang bagi membolehkan kemudahan berkenaan dimanfaatkan secara bersama oleh pesawah.
Beliau berkata, pembiayaan itu menggunakan konsep modal pusingan, iaitu pesawah boleh menggunakan kemudahan berkenaan bagi memulakan penanaman, membuat pembayaran balik selepas memperoleh hasil tuaian dan menggunakannya semula bagi musim penanaman berikutnya sepanjang tempoh pembiayaan.
Tambah beliau lagi, sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang diberi mandat untuk memajukan sektor pertanian dan agromakanan, Agrobank terus memperkenalkan produk dan penyelesaian kewangan yang inovatif, inklusif dan berlandaskan prinsip syariah bagi memenuhi keperluan komuniti pertanian yang sentiasa berkembang.
Kemudahan pembiayaan itu katanya, mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi oleh pesawah dengan membolehkan mereka memperoleh modal kerja lebih awal berdasarkan hasil tuaian yang akan datang, sekali gus menyokong kelangsungan penanaman padi dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Agro Padi-i Salam boleh mengunjungi mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negara atau melayari laman sesawang rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my,” katanya.



