'Sebagai calon termuda, saya kena berani' – Danish Nazran

'Sebagai calon termuda, saya kena berani' – Danish Nazran

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Rembau: Mungkin ada yang meragui kemampuan Danish Nazran Murad merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong atas faktor usianya, namun calon Pakatan Harapan (PH) itu yakin untuk melakukan kejutan.

Menjadi calon termuda pada usia 27 tahun, Danish yang mewakili PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini nyata bersemangat memberi saingan sengit kepada lawan dalam persaingan satu lawan satu.

Beliau berdepan saingan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris.

“Saya adalah calon muka baharu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya. Jika dilihat dari segi usia, saya memang muda berbanding lawan.

“Lawan saya adalah penyandang yang menguasai kerusi itu selama tiga penggal. Pastinya ia satu tugas besar untuk saya mengalahkan beliau dalam kubu kuatnya.

“Jangan hanya lihat pada usia saya. Meskipun baru bertanding dalam pilihan raya, saya berpengalaman membantu jentera dan ia boleh digunakan bagi menghadapi PRN ini,” katanya ketika ditemui pada sesi tinjauan mesra di Medan Selera Chembong di sini, hari ini.

Danish yang juga peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0, mengakui terkejut apabila dicalonkan untuk bertanding di Chembong oleh kepimpinan tertinggi PKR.

“Saya terperanjat apabila nama saya naik di peringkat tertinggi kerana tidak terfikir langsung dipilih untuk bertanding.

“Amanah ini besar. Saya mengambil pendekatan turun padang bagi mendekati pengundi supaya boleh mengetahui segala masalah dihadapi, selain memberi tumpuan kepada isu berkaitan golongan muda.

“Sebagai anak muda, saya menitikberatkan aspek peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan ini.

“Saya mahu masyarakat melihat potensi saya selaku anak muda dan memberi peluang untuk kita sama-sama membangunkan Chembong,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top