kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menegaskan platform Pay Day Now yang tular di media sosial bukan dasar, inisiatif atau program kerajaan Malaysia, sebaliknya penyelesaian komersial yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat swasta, Ramsol Group dengan kerjasama AmBank.
Kementerian dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong pada majlis pelancaran platform itu hanyalah sebagai saksi kepada pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ramsol Group dan AmBank.
Menurut KUSKOP, perkhidmatan Pay Day Now ditawarkan secara sukarela dan hanya membabitkan majikan yang memilih untuk menyertainya serta pekerja yang layak, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan penyedia perkhidmatan.
“Sehubungan itu, kemudahan ini bukan satu kemudahan yang diwajibkan dan tidak membabitkan semua majikan atau pekerja di Malaysia.
“Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan, kelayakan, syarat penyertaan atau ciri-ciri perkhidmatan Pay Day Now, orang ramai boleh menghubungi Ramsol Group atau AmBank,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan beberapa kenyataan dan dakwaan yang tular di media sosial berhubung pelancaran platform berkenaan.
Semalam, AmBank dan Ramssol Group Bhd melancarkan platform Pay Day Now sebagai penyelesaian gaji inovatif yang bertujuan menyokong kesejahteraan kewangan pekerja di samping membantu perniagaan meningkatkan kecekapan proses penggajian.
Platform itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan anak syarikat milik penuh tidak langsung Ramssol, RAMS Fintech Sdn Bhd, yang membolehkan majikan menawarkan kemudahan Akses Gaji Diperoleh (Earned Wage Access, EWA) kepada pekerja sehingga 25 peratus daripada gaji yang telah diperoleh setiap minggu sebelum hari gaji.
© New Straits Times Press (M) Bhd




