Ahli Majlis PBT Pahang dilarang masuk tender di PBT masing-masing

Ahli Majlis PBT Pahang dilarang masuk tender di PBT masing-masing

anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang bersetuju meluluskan penambahbaikan tatakelola perolehan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang.

Mesyuarat itu juga bersetuju Ahli Majlis tidak boleh memasuki perolehan yang ditawarkan oleh PBT masing-masing.

Walau bagaimana pun Ahli Majlis masih boleh menyertai pelawaan perolehan di PBT lain.

Tatacara Ahli Majlis PBT Negeri Pahang dipinda dengan memasukkan cadangan penambahbaikan tatakelola itu.

Kejayaan pindaan itu adalah hasil khidmat nasihat yang dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang dalam satu sesi pembentangan khas melaksanakan cadangan penambahbaikan tatakelola bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 7 Ogos 2024 yang mana ia juga bertujuan memperkukuh integriti dan kecekapan dalam pengurusan pentadbiran negeri.

Antara isu utama yang dibincangkan adalah berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja Ahli Majlis dalam proses pemilihan tender dan kontrak.

Satu cadangan penambahbaikan dikemukakan bagi memperkukuh aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan itu.

Cadangan khidmat nasihat ini dilaksanakan berikutan satu siasatan yang dijalankan oleh SPRM Negeri Pahang pada tahun 2022 mengenai isu dikatakan berlaku salahguna kuasa oleh Ahli Majlis PBT di Pekan, namun selepas siasatan dilakukan mendapati tiada sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku.

Walau bagaimanapun SPRM mendapati terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem serta prosedur pengurusan perolehan atau tender dengan dilaksanakan penyiasatan tatakelola.

Pengarah SPRM Negeri Pahang, Mohamad Shukor Mahmud melihat komitmen diberikan kerajaan Negeri Pahang dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan ini sebagai suatu perkara yang amat positif dan membanggakan.

Beliau berkata, cadangan itu dilihat mampu untuk membuat perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam kalangan Ahli Majlis PBT khususnya dalam soal perolehan tender.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh tadbir urus serta membudayakan integriti dalam pentadbiran awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top