yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Khabar duka mengenai pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberikan kesan mendalam kepada rakan seperjuangan Allahyarham, terutama di arena politik tanah air.
Menerusi entri di Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengakui luluh ketika menerima perkhabaran mengenai pemergian Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu.
Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO itu turut mengucapkan takziah kepada waris Allahyarham, selain mendoakan mereka tabah, tenang dan diberi kekuatan menghadapi ujian berkenaan.
“Ya Allah… Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Bung Moktar, 66, yang kembali ke rahmatullah awal pagi Jumaat penuh kemuliaan ini.
“Hari ini, saya kehilangan sahabat sejati yang begitu dekat di hati, rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Sabah pada jam 1.46 pagi tadi.
Bung Moktar dilahirkan di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah, pada 14 September 1959.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit, sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Allahyarham berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas di Sandakan dari 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 1990 hingga 1992.
Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.
Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16, kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.
Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Sepanjang pembabitannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




