AI Team dikecam dakwa hina nabi, Syahmie mohon maaf

AI Team dikecam dakwa hina nabi, Syahmie mohon maaf

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial terkenal, Alieff Irfan bersama rakan-rakannya dari AI Team dikecam selepas didakwa membuat lawak parodi menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam perbualan itu salah seorang individu terbabit menyatakan pada 2026 mungkin orang tidak akan ingat lagi pada Nabi Muhammad sebelum disambut dengan ketawa dari rakan-rakannya.

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed turut menasihatkan pempengaruh media sosial terbabit bertaubat di atas ayat yang dikeluarkan itu.

“Saya berharap dia bertaubat dengan taubat nasuha dan tarik balik perkataan itu.

“Kamu menyebut tahun 2026 tidak ada orang akan ingat Nabi itu adalah satu kalimah yang kufur.

“Saya harap pihak berkuasa boleh kaji balik perkataan individu ini dan ambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Sementara itu, pempengaruh yang mengeluarkan perkataan terbabit Muhamad Syahmie tampil memohon maaf dia atas perkataan dikeluarkannya itu sehingga menyinggung perasan orang ramai.

Menerusi hantaran di Instagram, beliau mengakui kata-kata yang diucapkan sebelum ini adalah kesalahan terbesar sepanjang penglibatannya dalam kumpulan AI Team dan menerima teguran yang diberikan pelbagai pihak.

Menurutnya, kenyataan berkenaan dibuat dalam bentuk kiasan sebagai peringatan kepada umat Islam mengenai agama, namun mengakui ia mungkin disalah tafsir oleh sebahagian pihak.

“Saya akui itu adalah kesalahan yang terbesar saya sepanjang berada dalam AI Team ini.

“Tujuan saya berkata sebegitu cuma mahu menyampaikan secara kiasan agar kita umat Islam saling mengingati tentang agama Islam kita.

“Saya masih waras untuk tidak menghina atau mempersendakan agama saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun niat asalnya bukan untuk menghina agama, kesilapan tetap perlu diakui dan beliau bertanggungjawab atas kenyataan yang dikeluarkan.

“Salah tetap salah dan saya betul-betul minta maaf atas khilaf saya sebelum ini. Terima kasih kepada semua pihak yang menegur kesalahan saya.

“Saya memohon ampun kepada setiap umat Islam jika ayat saya sebelum ini membuatkan ramai yang terasa atau merasakan agama dihina,” katanya.

Beliau turut berjanji untuk mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top