Aidil terkilan

Aidil terkilan

bhsukan@bh.com.my

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui terkilan apabila impiannya melihat KDA FC beraksi di negeri kelahirannya Singapura pada kejohanan Piala AFC musim ini tidak kesampaian.

Ini susulan penarikan diri Singapura menjadi tuan rumah kejohanan dari 29 Jun hingga 5 Julai itu susulan bimbang wabak COVID-19 yang masih berleluasa.

Bagi jurulatih berusia 43 tahun ini, melihat skuad kendaliannya beraksi di Piala AFC di Singapura memang sudah dinantikan sejak awal tahun dengan penuh semangat.

“Memang rasa sedih kerana Piala AFC tidak dapat berlangsung di Singapura selepas di saat akhir Singapura menarik diri sebagai hos dan ia mengecewakan saya.

“Tambahan pula ini peluang pertama saya bersama skuad Kedah yang akan beraksi di negara kelahiran saya.

“Namun, saya tetap akur dengan takdir dan keutamaan kesihatan menjadi lebih penting dalam sesuatu perancangan yang ditetapkan.” katanya.

Di sebalik ketiadaan aksi Piala AFC yang akan berlangsung di Singapura, Aidil turut terkesan apabila hasrat untuk melepaskan rindu bertemu keluarganya di Singapura juga tidak kesampaian.

Pengendali itu juga berkata peluangnya untuk bertemu keluarga yang sudah dirancang sebelum ini dan lama terpisah sejak 2020 lalu memberi kesan buat dirinya.

“Berada berjauhan dengan anda semua sejak Disember 2020. Saya berharap tahap COVID-19 berkurangan agar saya dapat pulang dan tidak perlu menjalani kuarantin yang lama.

“Peluang berjumpa dengan ahli keluarga memang sudah saya idamkan selama ini, namun saya tetap akur dengan keadaan yang ditakdirkan.

“Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar, dan saya juga berharap dapat berjumpa kembali ahli keluarga tersayang di Singapura selepas Liga Malaysia tamat musim ini.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top