am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Dianggarkan 300,000 kenderaan dijangka memasuki Terengganu sepanjang tempoh Op Selamat 24 bermula 29 Mac hingga 3 April sempena Aidilfitri, tahun ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lebih 172,000 kenderaan sudah memasuki Terengganu, sejak Jumaat lalu.
“Aliran trafik dilihat di LPT2 sangat tinggi yang mana ia mencecah hampir 100,000 semalam (Sabtu). Namun hari ini kurang kesesakan berlaku berbanding semalam,” katanya pada sidang akhbar Op Selamat 2025 di Plaza Tol Kuala Terengganu, dekat Gemurohdi sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata, 260 pegawai dan anggota trafik ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik.
“Sebanyak 25 ‘hotspot’ (kawasan jalan sesak) di Terengganu iaitu enam di Kuala Terengganu, Setiu (2), Kemaman (3), Dungun (3), Hulu Terengganu (2), Marang (4) dan lima di Besut.
“Manakala lokasi blackspot (kawasan sering berlaku kemalangan maut) sebanyak 21 lokasi iaitu tiga lokasi di Setiu, Kemaman (2), Dungun (1), Hulu Terengganu (2), Marang (6), empat di Besut dan tiga di Kuala Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairi berkata, bagi jenayah dalam musim perayaan, kontinjen Terengganu menerima sebanyak 54 permohonan di seluruh Terengganu untuk rondaan pencegahan jenayah.
Katanya, orang ramai yang bercadang untuk pulang ke kampung dan meninggalkan tempat kediaman atau premis perniagaan dinasihatkan agar melaporkan pergerakan kepada polis di balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP).
© New Straits Times Press (M) Bhd




