JELEBU: Sebanyak RM1.6 bilion peruntukan pembiayaan diluluskan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada hampir 185,000 usahawan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, pencapaian cemerlang itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa golongan usahawan mikro, khususnya wanita dan isi rumah berpendapatan rendah.
Katanya, penyaluran dana yang cekap dan pantas penting bagi memastikan usahawan dapat mengembangkan perniagaan masing-masing, sekali gus menjana ekonomi setempat.
“Ini menunjukkan kesungguhan kami untuk memastikan bantuan kewangan sampai terus ke tangan usahawan.
“Selain itu, AIM telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM50 juta yang memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 usahawan di Negeri Sembilan,” katanya berucap dalam majlis perjumpaan bersama usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan AIM Negeri Sembilan di Simpang Durian dekat sini, semalam.
Menurutnya, KUSKOP akan terus memastikan agensi di bawahnya seperti AIM dan TEKUN Nasional mempermudah proses permohonan pembiayaan tanpa birokrasi yang membebankan.
Katanya, kelulusan permohonan pembiayaan dibuat berdasarkan kelayakan dan potensi perniagaan usahawan tanpa memandang latar belakang politik mahupun keperluan menggunakan “kabel”.
“Kami mahu persaingan sihat antara agensi-agensi pembiayaan untuk berlumba-lumba menjaga kebajikan usahawan, mempercepatkan saluran dana dan memastikan ekonomi rakyat terus berkembang,” katanya.- UTUSAN




