Seorang kanak-kanak yang baru sahaja berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota, Kelantan disahkan meninggal dunia pada Selasa lalu selepas mengalami strok haba.
Menurut laporan Astro Awani, bapanya iaitu Ahmad Faris Fazli Mohd Nasir mendedahkan anak tunggalnya, Nur Imani mengalami batuk sejak seminggu dan muntah-muntah selepas beberapa hari.
“Punca kematian hasil ‘post-morterm’ adalah disebabkan strok haba. Air dalam badan semua kering, paru-paru sudah kecut semua,” katanya.

Bukan itu sahaja, Faris memaklumkan anak tersayangnya itu sudah mula kritikal pada Isnin malam dan difahamkan pergi ke sebuah klinik berhampiran sebelum mendapatkan rawatan di hospital.
“Semasa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, keadaan anak saya lemah dan kesejukan.
“Namun doktor yang bertugas di unit kecemasan pada malam berkenaan hanya memberikan ubat dan meminta kami membawa pulang anak kami.
“Doktor bagi balik, saya pun tak tahu… memang niat nak suruh masuk wad sebab anak saya lembik dah,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, keadaan anaknya didapati semakin teruk dan menghembuskan nafas terakhir pada sekitar jam 7.20 pagi Selasa.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia selepas mendapati buah pinggang dan jantungnya rosak dengan dihidrasi yang teruk.

Sumber: Astro Awani (Muhafandi Muhammad)




