AirAsia gagal buat bayaran kepada pembekal susulan tekanan kos bahan api – Bloomberg

AirAsia gagal buat bayaran kepada pembekal susulan tekanan kos bahan api – Bloomberg

AIRASIA X dilaporkan tertunggak dalam pembayaran kepada pembekal dan turut meminta penangguhan bagi sekurang-kurangnya sedozen pesawat selepas kenaikan harga bahan api menekan kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Memetik Bloomberg, beberapa sumber yang enggan dinamakan berkata, Rolls-Royce Holdings telah memaklumkan syarikat penerbangan itu bahawa syarikat tambang rendah berkenaan terlepas bayaran di bawah Perjanjian TotalCare bagi penyelenggaraan enjin pesawat.

Rolls-Royce menghasilkan dan menyelenggara enjin bagi kira-kira satu persepuluh daripada keseluruhan armada AirAsia yang berjumlah sekitar 250 pesawat.

Secara berasingan, menurut beberapa sumber lain yang arif mengenai situasi tersebut, AirAsia turut dilapor meminta beberapa syarikat pemajakan pesawat supaya menangguhkan bayaran sewaan bagi lebih 16 pesawat, atas sebab lonjakan kos bahan api susulan perang Iran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam, dalam satu wawancara berasingan awal minggu ini berkata, beberapa syarikat pemajakan memahami situasi tersebut dan telah memberi syarikat itu tempoh tambahan untuk membuat bayaran.

Walaupun jumlah sebenar pesawat yang terlibat tidak dapat dipastikan serta-merta, konflik Iran memberi kesan besar kepada syarikat penerbangan tambang rendah berikutan mempunyai ruang lebih terhad untuk menaikkan tambang kepada penumpang yang sensitif terhadap harga.

Dalam pada itu, di Amerika Syarikat, syarikat penerbangan tambang murah Spirit Aviation Holdings menjadi mangsa terbesar dalam industri apabila ia ‘tumbang’ pada Mei, manakala masalah yang dihadapi EasyJet yang berpangkalan di Britain pula menjadikan ia sasaran pengambilalihan oleh firma pelaburan Castlelake.

Scroll to Top