Sepang: Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) hari ini mengumumkan AirAsia sebagai Rakan Kembara Rasmi eksklusif bagi empat acara utama melibatkan pasukan kebangsaan dan kelab.
Acara-acara bekenaan termasuk Piala Asean 2024, Piala Kejohanan Kelab Asean, Kejohanan Wanita Asean dan Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) Asean, yang secara kolektif dijenamakan sebagai Asean United FC.
Melalui kerjasama dengan empat acara Asean United FC ini, AirAsia berhasrat mengukuhkan peranannya sebagai kuasa penyatuan bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi merentasi rantau ini bagi memupuk hubungan lebih mendalam dengan peminat bola sepak dan komuniti sukan.
Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen jenama berkenaan untuk menyokong pembangunan bakat serantau dan atlet yang bercita-cita tinggi, sekali gus mempamerkan potensi besar Asean baik di dalam mahupun di luar padang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Brand Co (Abc), Rudy Khaw percaya kuasa yang ada pada sukan untuk menyatukan dan memberi inspirasi, seperti mana mereka telah menghubungkan manusia dan budaya di seluruh Asean selama lebih dua dekad.
“Sebagai jenama yang dibina untuk dan oleh Asean, kami teruja untuk berganding bahu dengan Asean United FC bagi meraikan bakat unik rantau ini dan minat mendalam terhadap bola sepak,” katanya di Ibu Pejabat AirAsia di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata pihaknya gembira dapat menambah sebuah lagi syarikat ternama dari rantau Asean iaitu AirAsia, ke dalam barisan rakan kongsi yang dinamik.
“AirAsia telah menjadi penyokong kuat kepada perpaduan, kekuatan dan kemakmuran Asean, dan kami bangga kini mereka menjadi sebahagian daripada pasukan kami sebagai juara bola sepak Asean.
“Kerjasama kami diasaskan atas kepercayaan bersama terhadap kekuatan penyatuan bola sepak Asean dan potensinya untuk mencapai kecemerlangan di setiap peringkat,” katanya.
Perkongsian ini dimuktamadkan oleh agensi pemasaran sukan global SPORTFIVE, yang merupakan rakan komersial eksklusif AFF.
© New Straits Times Press (M) Bhd




