AirAsia yakin operasi pulih sepenuhnya akhir 2022

AirAsia yakin operasi pulih sepenuhnya akhir 2022

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan Capital A Bhd yakin operasinya akan kembali pulih sepenuhnya pada suku keempat tahun ini berdasarkan perkembangan semasa pembukaan ekonomi dan sempadan di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata kumpulan ketika ini sudah melihat lonjakan dalam permintaan perjalanan udara di kebanyakan negara.

“AAAGL sudah mula menunjukkan pertumbuhan operasi dengan banyak penerbangan dilaksanakan terutama penerbangan domestik.

“Malah, perjalanan udara rentas negara sudah mula meningkat dengan banyak penerbangan dari Indonesia ke Thailand serta Malaysia ke Kemboja.

“Walaupun pasaran utama China masih lagi tidak membuka pintu sempadan, tetapi kumpulan yakin masih terdapat negara berpotensi lain seperti India dan negara ASEAN lain.

“Kami yakin semua pesawat akan kembali terbang pada suku keempat ini walaupun tanpa operasi dari China. Jika China membuka kembali pintu sempadan, ia akan menjadi bonus kepada kumpulan,” katanya.

Tony berkata, adalah sukar untuk memberi jangkaan yang tepat kerana pandemik memberikan ketidaktentuan terhadap semua sektor.

Beliau bagaimanapun berkata, kumpulan yakin suku keempat akan memberikan sinar baharu dan berharap China juga akan kembali membuka sempadannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam, berkata kumpulan sentiasa menantikan pembukaan sempadan kerana ia memberikan pemulihan kepada sektor pelancongan dan penerbangan.

Beliau berkata, saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan Malaysia dibuka sepenuhnya mulai 1 Mac ini akan memberikan nafas kepada kedua-dua sektor itu di ASEAN kerana banyak negara serantau sudah membuka atau bercadang membuka sempadan dalam waktu terdekat.

“Ia adalah langkah yang baik dan sangat dinantikan oleh AAAGL,” katanya.

Tony turut memberikan bayangan Capital A akan menubuhkan syarikat penerbangan baharu dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata, buat ketika ini kumpulan masih dalam proses untuk mengukuhkan barisan lembaga pengarah dan transformasi operasinya.

“Kami akan umumkan mengenai penubuhan syarikat baharu ini dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top