Piala Dunia 2026: Polis pantau aktiviti judi dalam talian

Piala Dunia 2026: Polis pantau aktiviti judi dalam talian

PETALING JAYA: Kegiatan perjudian haram khususnya melibatkan pertaruhan sukan dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sempena Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 akan dipantau dengan giat olleh pihak polis.

Pemantauan itu akan dilaksanakan menerusi Op Soga XI yang dijalankan di seluruh negara sepanjang kejohanan berkenaan yang bermula esok sehingga 19 Julai ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi bersepadu itu akan dilaksanakan secara agresif dan menyeluruh membabitkan semua kontinjen negeri.

“Antara fokus pemantauan dan tindakan dilaksanakan ke atas aktiviti perjudian dan pertaruhan secara dalam talian membabitkan sindiket perjudian dalam talian, platform yang menjalankan aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian serta promosi melalui medium akaun media sosial.

“Selain itu, tindakan juga akan diambil ke atas aktiviti perjudian dan pertaruhan secara fizikal membabitkan premis perjudian dan pertaruhan haram, individu yang bertaruh, ejen pertaruhan dan premis atau individu yang mempromosikan perjudian dan pertaruhan secara fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi ini turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengesan serta menyekat platform serta transaksi yang digunakan sindiket perjudian.

Dalam pada itu, Kumar berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak terbabit dalam apa juga bentuk perjudian dan pertaruhan haram sama ada sebagai pemain, ejen, pengutip pertaruhan atau penganjur.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top