Soalan:
Ada orang berkata Allah itu berjisim kerana setiap yang ada mesti berjisim. Apakah benar perkataannya itu?
Jawapan:
Erti jisim ialah tubuh atau badan atau jasad atau bentuk.
Maka jisim adalah makhluk dan maha suci Allah Taala menyamai makhluk pada zat dan pada sifat-Nya.
Berkata Imam Abu Hanifah:
وَصِفَاته كلهَا بِخِلَاف صِفَات المخلوقين
وَهُوَ شَيْء لَا كالأشياء وَمعنى الشَّيْء الثَّابِت بِلَا جسم وَلَا جَوْهَر وَلَا عرض وَلَا حد لَهُ وَلَا ضد لَهُ وَلَا ند لَهُ وَلَا مثل لَهُ
Ertinya: “Dan sifat-sifat Allah itu sekaliannya menyalahi sifat-sifat makhluk. Dan Dia adalah suatu yang tidak seperti segala suatu dan makna suatu itu iaitu menyabitkan Allah Taala dengan bukan jisim dan bukan jauhar dan bukan aradh dan tiada sempadan bagi-Nya dan tiada saingan bagi-Nya dan tiada umpama bagi-Nya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Akbar)
Golongan yang berkata Allah adalah jisim disebut sebagai mujassimah dan mereka adalah sesat lagi kufur kerana menyamakan Allah dengan makhluk.
Berkata Imam As-Suyuthi:
لَا يُكَفَّرُ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَةِ وَاسْتُثْنِيَ مِنْ ذَلِكَ: الْمُجَسِّمُ، وَمُنْكِرُ عِلْمِ الْجُزْئِيَّاتِ
Ertinya: “Tidak dihukum kufur akan seorang pun daripada ahli kiblat kecuali puak mujassimah dan puak yang menolak pengetahuan Allah secara terperinci.” (Kitab Asbah Wa An-Nazhoir)
Dan berkata Syeikh Ibnu Hajar:
واعلم أن القرافي وغيره حكوا عى الشافعي ومالك وأحمد وأبي حنيفة القول بكفر القائلين بالجهة والتجسيم
Ertinya: “Dan ketahuilah bahawasanya Imam Al-Qarafi dan lainnya telah menghikayatkan daripada Imam Syafie dan Malik dan Ahmad dan Abu Hanifah akan perkataan kufurnya orang-orang yang berkata Allah ada arah dan menjisimkan Allah.” (Kitab Minhaj Al-Qawwim)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 14/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!