Kuala Lumpur: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) meneruskan penglibatannya dalam inisiatif Makkah Route Arab Saudi untuk tahun ini, mengukuhkan peranan strategik syarikat dalam memudahkan pengalaman ibadah haji yang lancar bagi umat Islam di seluruh dunia.
Syarikat memperoleh kontrak bernilai AS$1.8 juta (RM7.8 juta) untuk menyediakan kemudahan tapak serta pembekalan peralatan teknikal dan teknologi di enam tapak antarabangsa di Malaysia, Indonesia dan Turkiye.
Enam tapak yang terbabit adalah Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL); Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta (CGK); Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya (SUB); Lapangan Terbang Adi Soemarmo, Solo (SOC), Lapangan Terbang Istanbul (IST) dan Lapangan Terbang Ankara Esenboga, Ankara (ESB).
Dengan memanfaatkan rekod kejayaan syarikat, pelaksanaan penuh untuk 2025 sedang berjalan aktif. DNeX terbabit dalam projek Makkah Route sejak tahun 2019.
Inisiatif Makkah Route diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, dengan kerjasama beberapa entiti kerajaan lain.
Ia merupakan komponen utama dalam Program Pengalaman Jemaah, yang sejajar dengan Visi Saudi 2030 dengan mempercepatkan kelulusan imigresen bagi jemaah haji yang berlepas dari negara terpilih, memudahkan ketibaan mereka di Arab Saudi dan membolehkan transit langsung ke penginapan di Makkah dan Madinah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DNeX, Faizal Sham Abu Mansor, berkata DNeX berasa dihargai untuk terus menyumbang kepada perjalanan suci ini dengan memudahkan ibadah haji melalui inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, memperoleh semula enam tapak yang sama untuk tahun 2025 adalah bukti kepercayaan yang diberikan oleh Arab Saudi terhadap kemampuan dan komitmen syarikat.
“Kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa di Malaysia, Indonesia, dan Turkiye juga mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan operasi dalam perkongsian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif ini diteruskan di bawah arahan Elm Company, sebuah entiti milik Kerajaan Arab Saudi di bawah Dana Pelaburan Awam, cabang pelaburan Kementerian Kewangan Saudi.
Syarikat ini merupakan penyedia penyelesaian digital utama di Arab Saudi dan telah memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif transformasi digital kerajaan, khususnya dalam meningkatkan perkhidmatan yang berkaitan dengan haji dan umrah.
Setelah memperoleh enam daripada 11 tapak Makkah Route global tahun ini, DNeX optimis untuk memperoleh tapak tambahan pada musim haji yang akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




