JKNCR nafi IPTA amal 'pintu belakang', tegaskan kemasukan berdasar merit, syarat akademik

JKNCR nafi IPTA amal 'pintu belakang', tegaskan kemasukan berdasar merit, syarat akademik

Putrajaya: Jawatankuasa Naib Canselor atau Rektor (JKNCR) Universiti Awam hari ini menegaskan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tidak pernah mengamalkan budaya “menjual tempat” atau kemasukan melalui “pintu belakang” kepada mana-mana pihak.

JKNCR dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan seorang ahli politik berhubung perkara itu sebagai tidak berasas dan secara tidak langsung mempertikaikan integriti sistem kemasukan pelajar serta kredibiliti institusi pendidikan tinggi negara.

“Proses kemasukan pelajar ke Universiti Awam sentiasa tertakluk pada syarat akademik, merit, kapasiti program, keperluan akreditasi serta kelulusan pihak berkuasa universiti yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri mendakwa IPTA masa kini membuka “pintu belakang” kepada individu tidak layak, tetapi berkemampuan untuk membayar yuran penuh.

Dakwaan itu tular menerusi satu rakaman ceramah yang menyatakan bahawa pelajar memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi dinafikan tempat dalam program kritikal akibat agenda penjualan tempat oleh pihak universiti.

JKNCR menjelaskan bahawa Universiti Awam sentiasa mempertingkatkan kapasiti kemasukan pelajar saluran perdana bersubsidi setiap tahun, dibuktikan menerusi peningkatan tawaran bagi lepasan STPM dan setaraf ke peringkat Sarjana Muda secara konsisten sejak tiga tahun lepas.

Data menunjukkan tawaran meningkat daripada 79,646 bagi sesi akademik 2023/2024, kepada 79,845 (2024/2025) dan melonjak kepada 88,102 tawaran bagi sesi 2025/2026.

“Peningkatan berterusan ini membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memperluas akses pendidikan tinggi awam dan bukannya dikurangkan sebagaimana yang didakwa,” menurut kenyataan itu.

Menyentuh dakwaan saluran terbuka merupakan “pintu belakang”, JKNCR menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas kerana akses kemasukan ke Universiti Awam tidak terhad kepada platform UPUOnline sahaja, sebaliknya terdapat pelbagai inisiatif kemasukan yang distrukturkan mengikut ketetapan dan keperluan program pengajian.

Menurut JKNCR, inisiatif itu dibuat berpandukan punca kuasa daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025, Lonjakan ke-5: Kemampanan Kewangan.

“Inisiatif ini membolehkan Universiti Awam menampung kos yang semakin meningkat melalui penawaran program-program akademik secara yuran penuh. Dengan itu, Universiti Awam boleh menawarkan tempat kepada pelajar, melantik pensyarah kontrak, menambah baik fasiliti pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain kemudahan sokongan.

“KPT telah menetapkan jumlah ambilan melalui saluran ini tidak boleh sekali-kali mengurangkan jumlah penempatan saluran perdana yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

JKNCR turut menolak dakwaan golongan kurang berkemampuan dinafikan peluang melanjutkan pengajian ke Universiti Awam, sebaliknya menegaskan dasar akses pendidikan tinggi negara sentiasa memberikan perhatian khusus kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Komitmen ini diterjemahkan melalui sumbangan dana kerajaan yang sangat besar, yuran pengajian di Universiti Awam disubsidi hingga 95 peratus, sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak lagi menjadi benteng untuk menuntut ilmu.

“Berdasarkan data rasmi kemasukan sesi akademik 2025/2026, sebanyak 79.75 peratus daripada keseluruhan 88,102 pelajar yang menerima tawaran program Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline ialah pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah,” menurut kenyataan itu.

Mengenai dakwaan pelajar dengan merit rendah diterima kerana membayar yuran penuh tanpa subsidi, JKNCR menjelaskan kemampuan kewangan tidak menjadi asas untuk seseorang diterima masuk ke Universiti Awam kerana setiap pelajar yang diterima masuk wajib memenuhi syarat akademik minimum yang ditetapkan.

“Bagi program profesional dan kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, perakaunan, undang-undang dan pendidikan, syarat kemasukan adalah lebih ketat serta tertakluk pada standard badan profesional dan keperluan akreditasi.

“Kualiti program-program ini sentiasa dipelihara melalui pemantauan berkala oleh badan profesional serta semakan pelaksanaan program secara berterusan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan standard pendidikan tinggi negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPT bersama-sama pengurusan Universiti Awam sentiasa proaktif membantu pelajar yang kurang berkemampuan, dengan 493 Insentif Kebajikan berjumlah lebih RM115 juta disediakan bagi tahun lepas dan tahun ini, antaranya Bantuan awal pendaftaran, Bantuan SULUNG, Bantuan awal kemasukan, Bantuan zakat universiti, tabung kebajikan pelajar, biasiswa dan dermasiswa.

Selain itu, JKNCR memaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengarahkan semua Universiti Awam untuk bersikap fleksibel dalam menerima masuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, dengan pelajar terlibat boleh mendaftar terlebih dahulu dan dibenarkan untuk menangguhkan bayaran pendaftaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top