Kuala Lumpur: MRCB Land Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Lembaran Prospek Sdn Bhd menandatangani surat penerimaan untuk membina dan menyiapkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bernilai RM2.94 bilion.
Projek itu diperoleh daripada kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).
MRCB Land adalah anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Penyerahan surat penerimaan itu disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam kenyataan hari ini, MRCB berkata, projek pembinaan terbabit merangkumi kerja-kerja perobohan yang kini hampir selesai dan selepas itu tempoh pembinaan selama 48 bulan, dengan sasaran siap pada 2029.
“Pembangunan KSSA merupakan satu transformasi berani untuk Shah Alam menjadi presint bandar pelbagai fungsi yang bertenaga, mencerminkan visi bersama kepimpinan Selangor dan kepakaran MRCB dalam pembangunan bandar bersepadu,” katanya.
Pengerusi MRCB Datuk Mohamed Nasir Ab Latif berkata, kumpulan itu komited untuk membangunkan projek KSSA dan berbesar hati merealisasikan projek berwawasan berkenaan.
“Kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk melaksanakan projek berwawasan ini bagi negeri Selangor.
“Dengan rekod pencapaian dalam penjanaan semula bandar dan infrastruktur mampan, kami komited untuk membina lebih daripada sekadar sebuah stadium, kami sedang mewujudkan sebuah destinasi yang hidup dan dinamik untuk rakyat Selangor,” katanya.
Dikenali dengan rekod kejayaan dalam pembangunan semula stadium termasuk projek pengubahsuaian Stadium Bukit Jalil yang memenangi pelbagai anugerah antarabangsa sebagai sebahagian daripada projek KL Sports City, MRCB bekerjasama dengan firma tempatan terkenal Hijjas Kasturi Architects dan pakar stadium global Populous, bagi memastikan reka bentuk bertaraf dunia yang turut mengekalkan serta mentafsir semula elemen utama Stadium Shah Alam yang asal.
Menurut MRCB, projek KSSA direka bentuk untuk menjadi lebih daripada sekadar kompleks sukan dan akan menjadi mercu tanda baharu dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar di Selangor.
Berpusatkan sebuah stadium berkapasiti 45,000 tempat duduk dengan padang boleh laras, projek itu akan menyepadukan komuniti, perdagangan dan infrastruktur merentasi kawasan perlindungan flora hijau seluas 310,000 meter persegi.
“KSSA yang baharu ini akan mempromosikan gaya hidup aktif, pemerkasaan belia dan komuniti serta kemampanan.
“Stadium itu yang sebelum ini digunakan kurang daripada 30 kali setahun terutamanya untuk perlawanan bola sepak, akan ditakrifkan semula sebagai destinasi dinamik sepanjang tahun,” katanya.
Dengan kemudahan yang diperkembangkan untuk sukan dalam dewan, e-sukan, pameran dan acara gaya hidup serta zon khas untuk seni dan budaya bersama dengan kedai runcit barangan sukan, kedai makanan dan minuman, muzium sukan dan pelbagai kemudahan awam, KSSA dijangka meremajakan Shah Alam sebagai pusat inklusif untuk penglibatan komuniti seharian, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




