suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menegaskan penyebaran iklan mengenai ‘Permohonan AKPS untuk Veteran ATM’ yang tular di aplikasi WhatsApp adalah palsu.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang iklan pengambilan baharu setakat ini, dan orang ramai khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan maklumat tidak sahih berkenaan.
“Tiada sebarang iklan perjawatan secara rasmi dibuka dan memohon supaya veteran ATM khususnya untuk tidak terpedaya dengan sebaran maklumat yang tidak sahih ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut agensi itu, sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu, kerajaan bersetuju memperuntukkan 220 perjawatan baharu di bawah AKPS dengan keutamaan kepada veteran ATM bagi penempatan di pintu masuk negara yang diwartakan di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860].
“Bagaimanapun, pelaksanaannya masih dalam perbincangan lanjut bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM,” katanya.
Dalam pada itu, AKPS turut memohon supaya semua pihak untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan tepat menerusi media rasmi dan media sosial AKPS dari semasa ke semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




