KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup menggunakan bas persiaran di dua sekatan jalan raya di Kampung Belimbing dan Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.
Komander AKSEM Kelantan, Rusli Karim, berkata pendatang warga Thailand dan Myanmar berumur 17 hingga 50-an itu ditahan sepasukan anggotanya ketika melaksanakan penugasan Op Benteng.
Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah bas persiaran membawa warga asing diseludup masuk dari negara jiran melalui sebuah pangkalan haram di Sungai Golok.
“Seramai 14 lelaki warga Thailand ditahan dalam sebuah bas persiaran berdekatan sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada jam 2.30 petang semalam. Warga asing berumur lingkungan 30 hingga 50-an ini dipercayai akan dibawa ke Teluk Intan, Perak untuk bekerja dalam sektor perikanan.
“Turut ditahan, seorang pemandu bas lelaki warga tempatan berumur 30-an disyaki berperanan sebagai penghantar kumpulan warga asing ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rusli berkata, susulan kejayaan tangkapan pertama, pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan menjalankan satu lagi operasi dan berjaya menahan sebuah bas di Kampung Belimbing, Tanah Merah, malam tadi.
“Pasukan operasi berjaya menahan 17 warga Myanmar dalam bas itu pada jam 11.30 malam tadi. Turut ditahan seorang pemandu warga tempatan berumur 40-an.
“Berdasarkan maklumat, semua pendatang ini dibawa dari Klang, Selangor untuk dihantar ke sempadan Malaysia-Thailand. Siasatan mendapati ada sebahagian daripada mereka memiliki pasport tetapi memasuki negara ini melalui laluan tidak sah dan pas lawatan tamat tempoh,” katanya.
Rusli berkata, pihaknya percaya ada sindiket terancang menguruskan kemasukan dan perjalanan PATI dari Klang ke Kelantan, serta siasatan lanjut akan dilakukan.
“Dua pemandu bas itu kini ditahan bersama bas persiaran atas kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala 31 lelaki warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.
“Kes akan diserahkan kepada Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




