Kota Kinabalu: Polis menahan pengawal keselamatan yang tidak sengaja melepaskan tembakan ketika berada dalam sebuah bank di Api-Api Centre di sini, hari ini.
Dalam kejadian 7.55 pagi itu tembakan berkenaan bagaimanapun hanya terkena lantai bank.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan bank itu pada 10.45 pagi dan sepasukan penyiasat ke lokasi untuk siasatan.
“Senjata api yang digunakan dalam kejadian ini adalah jenis shotgun laras panjang.
“Kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, pengawal keselamatan berusia 50-an itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.



