Aksi Haqimi dapat pujian Kuljanac

Aksi Haqimi dapat pujian Kuljanac

KUALA LUMPUR – Berkongsi satu mata dengan Kuching City FC dalam saingan minggu pertama Liga Super musim 2024-2025, Miroslav Kuljanac jelas sekali mempunyai kebimbangan yang lebih besar selepas tongak utama KL City, Mohamad Kamal Azizi terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Pemain pertahanan KL itu terpaksa dikeluarkan pada minit awal permainan selepas mengalami kecederaan pada bahagian tangannya selepas terkena sepakan pemain pertahanan Kuching City.

Bagi Kuljanac, kecederaan yang menimpa Kamal Azizi ini jelas sekali akan menganggu persiapannya lebih-lebih lagi pasukan KL City akan menerima kunjungan juara Liga Super tahun lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super minggu ketiga nanti.

Jelasnya lagi, beliau akan menunggu laporan perubatan rasmi mengenai pemain tersebut sebelum merancang tentang apa yang akan dilakukan menjelang perlawanan menentang JDT nanti.

“Buat masa ini, saya akan menunggu laporan perubatan sebelum perancangan perlawanan seterusnya dirancang,” jelas Kuljanac.

Tambah jurulatih kelahiran Croatia itu, beliau sangat berpuas hati dan gembira dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya selepas menyedari beraksi dengan 10 orang pemain selama hampir 70 minit merupakan satu tekanan yang hebat.

“Kami jaringkan gol, kami mendahului namun kad merah itu merubah segala-galanya.”

Bagaimanpun, Kuljanac juga menyatakan rasa kagum dengan kematangan permainan Muhammad Haqimi Azim yang diturunkan pada perlawanan tersebut dan berjanji akan lebih memberi banyak peluang untuk pemain bawah 23 tahun itu menyinar untuk musim ini.

“Saya sangat gembira dengan dia (Hakimi) dan saya berjanji dia akan mendapatkan sokongan daripada saya dan saya akan mengubah dia kepada seorang penyerang yang lebih baik dari musim lalu,” jelasnya.

Untuk saingan Liga Super minggu kedua, KL City FC tidak akan mempunyai perlawanan dan akan kembali turun berentap memburu tiga mata menentang JDT di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 25 Mei nanti. – MalaysiaGazette