Jakarta: Tular di media sosial Indonesia mengenai tindakan ‘berani mati’ seorang wanita kerana memegang motosikal elektrik ketika menjadi pembonceng di lebuh raya di Makasar, Sulawesi Selatan.
Portal Kompas melaporkan, aksi mencetuskan itu mendapat perhatian pihak polis kerana amat berbahaya.
Menerusi video tular itu, kelihatan seorang lelaki menunggang motosikal dengan seorang wanita berpakaian coklat.
Di antara mereka, terdapat sebuah motosikal elektrik yang agak besar, yang dipegang wanita itu dengan tangan bagi menghalangnya daripada terjatuh ketika dalam perjalanan.
Insiden berbahaya itu dilaporkan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Jalan Sungai Saddang ke Jalan Veteran Utara di Bandar Makasar, baru-baru ini.
Walaupun membawa muatan yang menghalang pergerakan, penunggang motosikal itu terus memandu dengan tenang ketika meredah kesesakan lalu lintas.
Susulan kejadian, Unit Trafik Polis Kota Makasar menjalankan siasatan intensif bagi mengenal pasti identiti penunggang dan kenderaan dalam video tular itu.
Pegawai Trafik Unit Trafik Polis Makassar Aiptu Murdadi menegaskan tindakan itu sebagai satu kesalahan lalu lintas yang jelas.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai identiti pelaku.
“Kami di Unit Trafik Polis Makasar terus mencari maklumat identiti penunggang dan pembonceng motosikal itu.
“Tindakan itu sememangnya berbahaya untuk pemandu dan orang ramai.
“Kita mesti memastikan sebarang kejadian tidak diingini berlaku, yang boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya,” kata Aiptu.
Menurutnya, mengangkut barang besar seperti motosikal elektrik tidak boleh dilakukan dengan motosikal, terutama jika ia menggunakan kekuatan tangan penumpang sahaja.
“Kami berharap dapat menangkap individu terbabit dan akan mengenakan tindakan tegas,” katanya.
Aiptu turut mencadangkan kaedah lain seperti perkhidmatan penghantaran atau menggunakan trak pikap, yang jauh lebih selamat.
“Kepada pengguna jalan raya yang lain, sila patuhi peraturan lalu lintas bagi mengelak membahayakan orang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




