razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa aktivis ditumbuk dan dipukul oleh pihak berkuasa rejim Zionis Israel selepas ditahan secara tidak sah ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG), baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan oleh salah seorang aktivis Malaysia, Dr Fauziah Hassan ketika dihubungi pihak Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).
Katanya, semua sukarelawan turut berdepan dengan penderaan lisan yang dilemparkan oleh pihak berkuasa Israel.
“(Aktivis) yang muda-muda teruk kena, dua orang yang muda tu teruk kena. Paling teruk mereka ditumbuk dan dipukul. (Bagaimanapun) mereka semua okey dan masih boleh berjalan.
“Verbal abuse (penderaan lisan) semua kena,” katanya.
Ditanya berkenaan kesan terhadap psikologi, Dr Fauziah mengesahkan semua aktivis berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang gejala awal seperti stress dan sukar tidur.
Dr Fauziah adalah salah seorang aktivis dari Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusian FFC x TMTG .
Semalam, Kementerian Luar mengesahkan kesemua mereka telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
Mereka dijangka tiba di Malaysia pada petang esok.
Misi itu dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




