ULAANBAATAR: Seorang aktivis anti-China paling utama, ditahan di Mongolia sehinggakan ada pihak menyifatkan tangkapan itu sebagai sebahagian usaha untuk ‘membersihkan’ pengkritik Beijing di negara itu.
Ekonomi Mongolia bergantung pada eksport mineral ke negara jirannya iaitu Russia dan China, tetapi ada berlangsung tunjuk perasaan di sini susulan dasar bahasa Beijing di Inner Mongolia.
Pengkritik dasar di sempadan wilayah China yang menjadi ‘rumah’ kepada sekitar 4.5 juta etnik Mongolia mendakwa langkah itu adalah cerminan seperti di Xinjiang dan Tibet untuk mengasimilasi minoriti tempatan kepada budaya dominan Han serta menghakis bahasa minoriti.
Munkhbayar Chuluundorj ditahan Jumaat lalu di sini kerana disyaki ‘menerima arahan dan dana dari kumpulan perisikan asing’, dedah agensi risikan negara.
Agensi Perisikan Am (GIA) berkata, lelaki itu ada ‘kaitan dengan kegiatan kerjasama haram’ tetapi tidak mengemukakan perincian hal itu.
Menurut aktivis, mereka mengesyaki kenyataan Munkhbayar mengenai China menjadi punca dia diletakkan di bawah pengawasan rasmi.
Menerusi hantaran di Facebook, dia sebelum ini meminta Perdana Menteri Mongolia meletak jawatan kerana dakwaan mempunyai hubungan rapat dengan Beijing.
Dia bimbang kemerdekaan dikecapi negara itu akan hilang dan semua rakyat Mongolia akan menjadi hamba kepada China.
Rakaman penahanan disiarkan oleh agensi berita Mongolia, Eguur News yang menunjukkan seorang lelaki diiringi polis bersenjata di jalan dipenuhi deretan kedai.
Pusat Maklumat Hak Asasi Manusia Mongolia Selatan, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang menyokong etnik Mongol yang memetik kenyataan abang lelaki itu, Munkh-erdene, mendakwa lawatan saudara mara dinafikan dan perbicaraan tertutup sedang berlangsung.
NGO itu mendakwa Munkhbayar adalah salah seorang pengkritik paling lantang yang mendakwa kerajaan Mongolia ada hubungan selesa dengan China.
Apa yang dilakukan Munkhbayar untuk mempertahankan hak asasi Inner Mongolia, budaya, sejarah dan hak tanah, menurut seorang penyokong hak bahasa berasal dari Inner Mongolia, Baljinima Bai.
“Mongolia mula ‘membersihkan’ orang ini… yang menentang China,” dakwanya kepada AFP. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




