nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aktiviti mengambil gambar di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini, pernah dikesan dimonopoli oleh warga asing.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan kehadiran jurugambar amatur di sekitar KLCC.
Katanya, aduan diterima pihak Imigresen membabitkan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (Pati) menjalankan ‘perniagaan’ mengambil gambar di kawasan terbabit.
“Susulan aduan itu, beberapa operasi, pemeriksaan, tindakan penguatkuasaan serta omnipresence dilakukan di sekitar menara berkembar berkenaan.
“Selain itu, kami juga mengadakan libat urus bertemu dengan pihak pengurusan KLCC serta jurugambar terbabit bagi menyelesaikan isu terbabit,” katanya kepada Harian Metro.
Wan Saupee berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati kebanyakan jurugambar di sekitar KLCC terdiri daripada warga tempatan.
“Mereka ini (jurugambar amatur) didapati mempunyai kad pengenalan dan kebanyakannya berasal dari Sabah.
“Kami ada membuat tangkapan (warga asing) hasil tindakan penguatkuasaan di lokasi terbabit pada Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata, ada di antara warga asing yang ditahan dalam operasi itu dituduh di mahkamah serta dikompaun bagi kesalahan salah guna pas sebelum mereka dihantar ke negara asal.
“Selepas penahanan (warga asing) itu, kami mendapati aktiviti mengambil gambar dikuasai oleh individu tempatan.
“Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur berkolaborasi dengan mereka (jurugambar tempatan) jika terdapat warga asing terbabit (sebagai jurugambar).
“Maklumat daripada golongan itu supaya mereka boleh terus menghubungi dan memaklumkan kepada pihak JIM Kuala Lumpur untuk tindakan segera,” katanya.
Dua jurugambar amatur sudah didakwa di mahkamah
Polis menerima dua laporan berhubung kehadiran jurugambar amatur di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dua laporan diterima pihaknya itu membabitkan kejadian ceroboh dalam kawasan KLCC yang dibuat oleh anggota polis bantuan yang bertugas di menara berkenaan.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga, polis tidak menerima sebarang laporan daripada orang awam atau pengunjung berhubung kehadiran jurugambar di sekitar KLCC.
“Dalam kedua-dua kejadian itu, anggota polis bantuan KLCC menahan dua lelaki masing-masing berusia 17 dan 29 tahun.
“Sebanyak dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kes berkenaan.
“Kedua-dua lelaki terbabit juga sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada Harian Metro.
Rusdi berkata, pihaknya melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan operasi di sekitar KLCC pada 29 November lalu.
“Operasi itu dijalankan IPD Dang Wangi bersama pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Dalam operasi itu, seramai 29 lelaki termasuk seorang warga Filipina dibawa ke IPD Dang Wangi untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati lima lelaki yang mempunyai pelbagai kesalahan ditahan, manakala 24 individu lagi dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai,” katanya.
Menurutnya, polis akan menjalankan pemantauan berkala dan tindakan bersama-sama agensi penguat kuasa lain berhubung isu jurugambar di menara berkembar berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




