SIRI 3
mohamadridzuan@hmetro.com.my
DIDIE Alias bertemu jodoh dengan Nor Isham Ismail pada 2009 dan bahagia melayari kehidupan berumah tangga untuk kali kedua.
Baginya, Nor Isham bukan seorang yang kaya, tetapi boleh menjaganya dengan baik sehingga akhir hayat.
Namun, kebahagiaan mereka teruji apabila Nor Isham tiba-tiba jatuh sakit selepas Didie meraih trofi Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang pertama pada 2011.
“Biasalah manusia, bila dia tengok kita sampai ke tahap tinggi, kan? Bukan sakit biasa. Tak tahu punca tiba-tiba macam dia sesak nafas. Selepas saya menang, masa itu kan kerja tak henti-henti.
“Agaknya tak tahu siapa yang hati tak senang tengok kita ini kerja tak habis-habis, kan? Asyik kita, kita, kita. Dia mungkin nak cuba kenakan saya, tapi tak lepas.
“Akhirnya kena pada orang paling dekat dengan saya iaitu dia (suami). Sebulan juga dia sakit, kami hantar dia ke hospital. Saya nak buat ‘show’ saja, dia sesak nafas. Aku nak kerja, dia sesak nafas,” katanya.
Didie berkata, berikutan itu suaminya berjumpa doktor pakar di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
“Apabila masuk hospital, keadaan dia kembali okey. Akhirnya doktor cakap suruh cari alternatif lain untuk rawatan. Kami pun ikut seperti yang disarankan.
“Tujuh tahun dia menderita, tapi Alhamdulillah apabila lahir anak bongsu, penyakitnya hilang. Maksudnya, rupanya dia pergi berubat sana sini, dia pun tak tahu, rupanya dia sendiri yang berubatkan dirinya.
“Kalau tidak, macam kadang tengah solat pun dia kena kacau. Bayangkan tengah solat, tiba-tiba saya tengok dahi dia bertanda. Saya tanya kenapa teruk sangat dia solat?
“Suami beritahu tengah rukuk, tiba-tiba macam ada orang tendang dari belakang hingga tersandung ke depan,” katanya.
Menurut Didie, dia melalui pengalaman yang hebat dalam hidup terutama dalam membesarkan anak-anak dan kini bersyukur dengan apa yang diperolehnya.
“Alhamdulillah, Tuhan buka satu demi satu jalan rezeki. Dia tak putus-putus walaupun RM10 atau RM20. Macam dulu selalunya kalau orang berpisah ini kan, anak terabai, sekolah dia, apa semua.
“Tapi, jalan yang saya lalui amat cantik. Contohnya anak sulung saya belajar masuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Saya berfikir macam mana nak cari duit kerana tahun pertama tiada biasiswa, kena bayar sendiri.
“Tapi, saya fikir, tak apalah masuk saja, saya cari duit. Sampai begitu. Saya cari duit, tapi Alhamdulillah boleh dapat bayar sampai habis.
“Tahun kedua dia terus dapat Anugerah Dekan, bila banyak kali terus biasiswa. Sama juga berlaku pada adik-adiknya yang lain. Kiranya kakak mereka itu macam pembuka jalan.
“Jadi, adik-adik mengikut. Makna, saya bersyukur. Kita dah bagi dia cukup sempurna pelajaran, ilmu agama apa semua.
“Bila dah kahwin saya serahkan pada suami mereka,” katanya yang kini terbabit dengan filem terbaru, The Real Mamu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




