am@hmetro.com.my
Kuantan: Kerajaan Pahang menjelaskan dakwaan berhubung pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Maran, tidak menggambarkan fakta sebenar kes berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).
Menurutnya, penempatan Kampung Cot, Maran adalah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan JAKOA.
“Berdasarkan rekod JAKOA, sebanyak 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan sendiri oleh mereka kepada jabatan itu.
“Pada masa sama, tanah berkenaan telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.
“Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan itu.
“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sesi perbincangan itu, Syed Ibrahim berkata, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan terbabit tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.
“Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah.
“Untuk makluman, enam penama Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta PTG, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menegaskan bahawa isu itu diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan.
“Sebarang isu atau pertikaian yang timbul akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan semua pihak.
“Kerajaan negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Sebaliknya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




