Al-Quran dan sunah Nabi jadi neraca utama

Al-Quran dan sunah Nabi jadi neraca utama

Assalammualaikum Datuk, bagaimana kami nak bezakan antara ajaran sebenar dengan ajaran sesat terutama bila ada ‘ustaz’ di media sosial yang kata mereka ada ilmu khas dan jalan pintas ke syurga?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam. Terima kasih atas soalan yang dikemukakan.

Perkembangan media sosial telah membuka ruang luas kepada penyebaran ilmu agama, namun dalam masa sama melahirkan cabaran besar apabila muncul individu yang mengaku sebagai ‘ustaz’, pendakwah atau guru rohani dengan dakwaan memiliki ‘ilmu khas’, ‘rahsia tertentu’ atau ‘jalan pintas ke syurga’.

Fenomena ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam, khususnya golongan yang kurang asas ilmu agama atau yang sedang mencari ketenangan jiwa.

Persoalan utama ialah: bagaimana umat Islam dapat membezakan antara ajaran Islam yang sahih dengan ajaran yang menyimpang?

Islam sebagai agama yang sempurna telah meletakkan neraca yang jelas dalam menilai kebenaran sesuatu ajaran.

Neraca terbabit bukan berdasarkan personaliti, karisma atau jumlah pengikut di media sosial, sebaliknya berpaksikan wahyu iaitu al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW serta kefahaman ulama muktabar.

Asas paling utama dalam membezakan ajaran yang benar dan sesat ialah sumber ajaran terbabit.

Ajaran Islam yang sahih mesti berlandaskan al-Quran dan sunah yang sahih, difahami menurut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.

Allah SWT menegaskan: “Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul.” (Surah al-Nisa’: 59)

Ayat ini menunjukkan bahawa sebarang dakwaan ilmu, amalan atau jalan menuju keselamatan akhirat mesti boleh dirujuk dan dinilai berdasarkan wahyu, bukan berdasarkan mimpi, ilham peribadi, bisikan batin atau pengalaman spiritual semata-mata.

Dakwaan memiliki ‘ilmu khas’ yang tidak boleh diuji dengan al-Quran dan sunah adalah tanda awal penyimpangan.

Islam juga menegaskan bahawa jalan ke syurga bukan jalan pintas tanpa syariat.

Kejayaan di akhirat dibina atas iman, amal soleh dan ketaatan yang berterusan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga sebagai tempat kediaman.” (Surah al-Kahfi: 107)

Rasulullah SAW tidak pernah mengajar umatnya bahawa seseorang boleh dijamin syurga melalui amalan rahsia tertentu, zikir eksklusif atau ketaatan mutlak kepada seorang guru. Bahkan Baginda SAW bersabda: “Beramallah kamu, kerana setiap orang akan dipermudahkan bagi apa yang dia diciptakan untuknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa kejayaan akhirat menuntut usaha, mujahadah dan istiqamah, bukan jalan mudah yang menjanjikan hasil segera tanpa komitmen kepada syariat.

Satu lagi ciri penting ajaran sesat ialah pengkultusan individu. Ajaran yang menyimpang sering meletakkan guru atau pemimpin pada kedudukan yang hampir maksum, tidak boleh ditegur, tidak boleh dipersoalkan dan mesti ditaati tanpa syarat.

Sedangkan dalam Islam, ketaatan kepada manusia adalah bersyarat.

Rasulullah SAW menegaskan: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Riwayat Ahmad)

Ulama muktabar sentiasa membuka ruang nasihat, perbezaan pandangan dan semakan ilmiah.

Ajaran yang melarang pengikut bertanya, merujuk ulama lain atau menilai ajaran secara kritis adalah ajaran yang patut dicurigai.

Selain itu, ajaran sesat sering memperkecilkan atau meremehkan syariat zahir seperti solat, puasa dan hukum halal haram, dengan alasan telah mencapai ‘hakikat’, ‘makrifat’ atau ‘tingkatan rohani tertentu’.

Islam menolak pemisahan antara hakikat dan syariat.

Rasulullah SAW, insan yang paling tinggi maqamnya, adalah orang yang paling kuat beribadah dan paling patuh kepada syariat.

Allah SWT berfirman: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-yaqin (kematian).” (Surah al-Hijr: 99)

Ayat ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada syariat tidak pernah gugur selagi seseorang masih hidup, walau setinggi mana pun kedudukan rohaninya.

Islam juga mengingatkan tentang bahaya golongan yang bercakap tentang agama tanpa ilmu.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-A’raf: 33)

Dalam hadis, Rasulullah SAW memberi amaran bahawa pada akhir zaman akan muncul golongan yang menyesatkan manusia atas nama agama.

Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan sekali cabut daripada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan diwafatkan para ulama. Sehingga apabila tidak tinggal seorang alim, manusia mengambil orang-orang jahil sebagai pemimpin. Mereka ditanya, lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks Malaysia, satu panduan penting ialah merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti jabatan mufti dan jawatankuasa fatwa negeri.

Islam menuntut umatnya supaya tidak berjalan bersendirian dalam isu akidah dan ajaran, sebaliknya berpaut kepada disiplin ilmu dan institusi yang menjaga kemaslahatan umat.

Kesimpulannya, ajaran Islam yang sahih dapat dikenal pasti melalui kesetiaannya kepada al-Quran dan sunah, penolakannya terhadap jalan pintas ke syurga, ketiadaan pengkultusan guru, pemeliharaan syariat zahir serta keterbukaan kepada semakan ulama.

Sebaliknya, ajaran yang menjanjikan keselamatan akhirat secara mudah, berasaskan dakwaan ilmu rahsia dan menuntut ketaatan mutlak kepada individu tertentu adalah ajaran yang wajib dijauhi.

Dalam era media sosial, kebijaksanaan beragama bukan sekadar mendengar, tetapi menilai, menyemak dan kembali kepada neraca wahyu.

Wallahu a’lam

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top