Melbourne: Rumah Putih membalas kritikan terhadap Donald Trump yang menerima Anugerah Keamanan FIFA dengan menegaskan tiada individu lain lebih layak berbanding Presiden Amerika Syarikat itu.
Badan induk bola sepak dunia itu memberikan anugerah sulung berkenaan kepada Trump pada majlis undian Piala Dunia Disember lalu atas sumbangan “menggalakkan keamanan dan perpaduan di seluruh dunia”, namun tindakan itu mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia serta aktivis menjelang kejohanan berkenaan.
Pemain Australia, Jackson Irvine berkata, minggu ini pemberian anugerah itu menjadikan Polisi Hak Asasi Manusia FIFA seolah-olah tidak bermakna, manakala Persekutuan Bola Sepak Norway pula menggesa agar anugerah itu dimansuhkan.
Rumah Putih kemudian memaklumkan dasar luar Trump berkonsepkan “Keamanan melalui Kekuatan” berjaya menamatkan lapan peperangan dalam tempoh kurang setahun.
“Tiada individu lain di dunia ini lebih layak menerima anugerah keamanan pertama FIFA selain Presiden Trump. Sesiapa yang beranggapan sebaliknya jelas berdepan sindrom kebencian melampau terhadap Trump,” kata jurucakap Rumah Putih, Davis Ingle dalam satu kenyataan.
Amerika Syarikat yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia bersama Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai, melancarkan serangan ketenteraan ke atas Venezuela sebulan selepas undian kejohanan dibuat, selain memulakan serangan udara bersama Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Trump kerap menekankan kejayaannya dalam menyelesaikan konflik antarabangsa dan beberapa kali menyatakan beliau layak menerima Hadiah Keamanan Nobel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




