Alif tidak tunjukkan sebarang simptom – Pengurus

Kuala Lumpur: Pengurus Alif Satar, Adlina Abu Bakar memaklumkan bahawa penyanyi itu tidak menunjukkan sebarang simptom meskipun disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, Alif pada mulanya membuat ujian saringan selepas difahamkan sepupunya telah disahkah positif COVID-19.

“Alif memang tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga hari dia disahkan positif COVID-19. Kami bertemu dengan individu yang positif itu pada malam selasa minggu lepas”, katanya.

Berkongsi keadaan emosi Alif, Adlina berkata ketika ini artis serba boleh itu berada dalam keadaan stabil.

“Alif okey sahaja, memang dia bersyukur sebab berada di hospital ketika ini memandangkan dapat pemantauan doktor. Cuma dia berharap agar mereka di luar sana terus mendoakan tahap kesihatan agar segera pulih”, katanya.

Alif sekarang berada di sebuah pusat perubatan di Melaka untuk proses kuarantin.

Terdahulu semalam, penyanyi berusia 30 tahun itu mengesahkan bahawa dirinya telah positif COVID-19 menerusi entri Instagram (IG).

Disebabkan itu, episod ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam yang dijadual berlangsung pada hari semalam terpaksa ditangguhkan.

Ia kerana Alif merupakan peserta yang membuat persembahan dalam episod pertama SFMM Ke-35 dengan mendendangkan lagu I Want You To Love Me pada hari jumaat yang lepas.

Akmal Hakim
Glamour Desk