Medvedev juarai Final Jelajah Dunia ATP

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

London: Pemain tenis dari Russia, Daniil Medvedev bangkit menewaskan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Dominic Thiem untuk memenangi gelaran terbesar dalam kariernya pada kejohanan Final Jelajah Dunia ATP di London hari ini.

Pemain pilihan keempat itu awalnya ketinggalan dalam set pertama namun bangkit merakamkan kemenangan 4-6, 7-6 (7/2), 6-4 di Arena O2.

Medvedev yang mengetepikan juara lima kali, Novak Djokovic dan pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal sepanjang laluannya ke final menjadi pemain pertama yang menewaskan ketiga-tiga pemain ranking tertinggi dunia pada kejohanan penutup musim itu.

Berusia 24 tahun, Medvedev memenangi 10 perlawanan berturut-turut selepas muncul juara Paris Masters awal bulan ini, malah mencatat sejarah manis tahun ini apabila mengekalkan rekod tanpa kalah pada penampilan pertama di London.

“Perlawanan yang hebat. Antara kejayaan terbaik saya, 2 jam dan 42 minit, tiga set menentang pemain yang hebat”, katanya.

“Dominic, tahniah di atas pencapaian anda. Nama anda sudah terpahat dalam buku sejarah tenis”, katanya lagi.

“Anda memenangi Grand Slam tahun ini. Anda bermain dengan luar biasa dan saya harap kita bertemu lagi dalam kejohanan besar begini pada masa akan datang”, tambah Medvedev.

Medvedev menjadi pemain Rusia pertama memenangi Jelajah Dunia Akhir sejak Nikolay Davydenko menjuarai edisi pertama di London pada 2009.

Kejohanan itu tahun hadapan akan dilangsungkan di Turin, Itali.

Akmal Hakim
Sports Desk