Pelakon Aliff Aziz meluahkan rasa syukur masih menerima tawaran berlakon dan pekerjaan serta akan berikan komitmen terbaik.
Memetik Utusan Online, Aliff berkata meskipun banyak komen negatif diterima namun dia percaya ada yang masih mendoakan buatnya.
BACA: “Ini Video Terakhir 3 Tahun Lalu” – Ibu Aliff Aziz Titip Ucapan Hari Lahir Buat Ayden
“Saya sangat bersyukur. Bukanlah saya hendak menunjuk atau berkata, ‘tengok, saya masih ada’, tidak. Rezeki itu ada di mana-mana. Jadi, apabila peluang itu datang kepada saya, saya akan menghargainya dan memberikan yang terbaik.
“Dalam banyak-banyak komen negatif, saya percaya masih ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam. Saya benar-benar percaya kepada perkara itu,” katanya.
Sementara itu, Aliff berkata dia tidak tahu mengenai spekulasi mendakwa namanya digam stesen televisyen susulan kontroversi terpalit dirinya sebelum ini. Tambahnya, jika benar perkara tersebut sudah pasti dia akan rasa sedih namun tidak mahu perkara itu mematahkan semangatnya.
“Saya bukan bertugas di stesen televisyen (TV) tempatan. Jadi, saya sendiri tidak pasti dan tidak berani mengulas apa yang sebenarnya dibincangkan atau sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Bagi saya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa di mana ada rezeki, di situlah saya akan memberikan yang terbaik.
“Sekiranya benar ada perkara seperti itu, sudah tentulah saya berasa sedih. Namun, saya akan kembali mengingatkan diri bahawa mungkin Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik.
“Apabila saya percaya ada yang lebih baik menanti, saya tidak terlalu tertekan. Walaupun ada yang berkata mereka tidak mahukan saya berada di sesuatu tempat, Alhamdulillah masih ada pihak lain yang memberikan peluang,” katanya.
Sumber: Utusan Online




