KUALA LUMPUR: Atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Aliff Iman Mohd Fahimi menutup tirai penampilan terakhirnya di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan bergaya apabila membantu kuartet 4×100 meter (m) lelaki meraih emas sambil mencipta rekod baharu temasya, hari ini.
Aliff Iman, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin, Reeve Kua Man Hong dan Mohammad Haziq Mohd Akhir mencatat masa 39.98 saat (s) untuk muncul juara di Arena Universiti Malaya (UM), sekali gus menjadi kuartet pertama mencatat masa bawah 40 saat dalam sejarah SUKIPT.
Pencapaian tersebut sekali gus memperbaharui rekod temasya juga dilakukan Aliff Iman ketika mewakili UPM selepas melakukan catatan 40.98s pada edisi 2024.
Kuartet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai atlet kebangsaan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee meraih perak dengan catatan 40.16s dan melengkapkan podium adalah Politeknik Malaysia selepas merekodkan 41.75s.
Menurut Aliff Iman, catatan tersebut cukup istimewa kerana bukan sahaja menghadiahkan emas buat UPM, malah menjadi penamat kepada penampilan terakhirnya di temasya berkenaan.

“Saya memang datang dengan sasaran untuk memecahkan rekod lama yang dibuat kuartet senior pada 2024.
“Lebih istimewa kali ini kerana saya bersama atlet junior yang pertama kali menyertai SUKIPT. Jadi, ini adalah pembaharuan untuk acara pecut UPM.
“Kalau tak silap saya, legasi UPM ditinggalkan Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail. Saya juga akan meninggalkan legasi UPM memandangkan ini adalah SUKIPT terakhir saya. Jadi saya memberikan yang terbaik untuk UPM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kejayaan itu turut menjadi bukti kebangkitan Aliff Iman selepas terpaksa berehat selama enam bulan akibat kecederaan pinggang yang dialaminya selepas Sukan SEA Thailand tahun lalu.
SUKIPT 2026 menjadi kejohanan kompetitif pertamanya di Malaysia selepas kembali daripada tempoh pemulihan.
“Selepas enam bulan, ini kejohanan kompetitif pertama saya di Malaysia. Saya sangat berpuas hati kerana kami sudah menunggu dua tahun untuk melakukan catatan bawah 40 saat,” katanya.
Bagi kategori wanita pula menyaksikan kuartet UPSI merangkul pingat emas dengan catatan 46.60s manakala perak milik UPM selepas menamatkan larian 47.72s dan gangsa diraih Politeknik Malaysia (50.53s). – UTUSAN
