Jangan tunggu krisis, khidmat ahli psikologi perlu diperluas ke sekolah – Pakar

harisfadli@hmetro.com.my

​Kuala Lumpur: Pihak berwajib digesa memperluaskan akses perkhidmatan ahli psikologi di sekolah bagi menangani pelbagai cabaran kompleks yang memberi tekanan kepada pelajar ketika ini.

​Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, sudah tiba masa pihak berkenaan mengambil tindakan lebih proaktif bagi menangani isu ini.

​Menurutnya, sudah tiba masa pendekatan bersifat reaktif digantikan dengan mengutamakan tindakan pencegahan melalui pengesanan awal, intervensi profesional, dan tindakan susulan.

​”Kita tidak boleh menunggu sehingga seorang pelajar berada dalam krisis sebelum sistem bertindak.

“Setiap isu negara akhirnya adalah isu manusia, dan setiap isu manusia mempunyai dimensi psikologi. Pendidikan tidak terkecuali.

​”Malaysia banyak melabur dalam infrastruktur fizikal dan digital pendidikan.

“Kini kita perlu memberikan perhatian yang sama serius kepada infrastruktur psikologi yang membangunkan manusia di dalam sistem ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Shazli yang juga Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, UKM berkata, beliau turut menyokong pandangan Tan Sri Lee Lam Thye mengenai keperluan memperluaskan ahli psikologi di sekolah awam.

​Menurutnya, peranan ahli psikologi bukan bertujuan menggantikan perkhidmatan kaunselor sedia ada di sekolah, sebaliknya sebagai pelengkap kepada perkhidmatan mental pelajar.

​”Kaunselor memainkan peranan penting dalam bimbingan, sokongan emosi, pengesanan awal dan rujukan.

​”Ahli psikologi pula melengkapkan perkhidmatan melalui penilaian psikologi, formulasi kes dan intervensi berasaskan bukti, khususnya bagi kes yang lebih kompleks,” katanya.

​Menurutnya, pengaktifan ahli psikologi perlu dilaksanakan secara berfasa, sama ada melalui penempatan di sekolah atau perkhidmatan psikologi berkelompok di peringkat daerah, dengan keutamaan kepada kawasan yang mempunyai populasi pelajar dan keperluan tinggi.

​Katanya, ia bakal mengubah landskap profesion psikologi di Malaysia yang mana kerangka regulasi dan garis panduan ditetapkan bagi memastikan hanya pakar yang kompeten dan beretika memberi perkhidmatan.

​”Psikologi membentuk manusia, manusia membentuk institusi, institusi membentuk negara.

“Justeru, mengaktifkan ahli psikologi dalam sistem pendidikan bukan sekadar agenda kesihatan mental.

​”Ia adalah pelaburan dalam keselamatan dan kesejahteraan pelajar, pembangunan modal insan serta masa depan Malaysia.

” PSIMA turut menyokong cadangan pembangunan Kerangka Psikologi dan Kesihatan Mental Sekolah Kebangsaan yang menetapkan standard jelas berkaitan isu itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top