illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan mengikut ‘Istiadat Pengebumian Negara’.
Jabatan Perdana Menteri (JPM), berkata jenazah negarawan itu akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur jam 8 pagi bagi pengurusan jenazah.
Katanya, penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.
“Jenazah akan disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Negara dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
JPM turut mengingatkan, pakaian bagi pelawat lelaki Islam adalah baju Kebangsaan warna hitam, bersamping hitam tanpa sebarang corak dan bersongkok hitam manakala bagi bukan Islam adalah lounge suit gelap.
“Selain itu, pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai.
“Pakaian bagi pelawat wanita Islam adalah baju kurung/kebaya labuh warna gelap dengan selendang/tudung putih manakala bagi bukan Islam pakaian sopan warna gelap dan berselendang putih.
“Pakaian lain yang bersesuaian juga boleh dipakai,” katanya.
Katanya, semua bangunan di dalam jarak radius dua kilometer daripada Masjid Negara hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga selesai Istiadat Pengebumian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




