Atlanta, Amerika Syarikat: Harga tiket bagi satu daripada dua aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 kini lebih dua kali ganda berbanding satu lagi perlawanan walaupun kedua-duanya membabitkan kuasa besar bola sepak dunia.
Perancis yang menghuni ranking nombor satu dunia akan menentang Sepanyol, pasukan ketiga terbaik dunia, di Dallas awal pagi Rabu ini.
Menurut data TicketData.com setakat tengah hari Isnin waktu tempatan, harga tiket paling murah bagi perlawanan itu adalah AS$1,325 (RM5,393).
Jumlah itu mewakili penurunan 26 peratus dalam tempoh tiga hari lalu dan kurang daripada separuh harga tiket bagi satu lagi aksi separuh akhir.
Juara bertahan, Argentina terus menjadi tarikan utama apabila dijadual menentang England di Atlanta awal pagi Khamis ini.
Kelab MLS, Atlanta United memiliki ramai penyokong berketurunan Argentina, manakala bekas jurulatih Argentina, Gerardo “Tata” Martino, pernah mengendalikan kelab berkenaan.
Harga tiket paling murah bagi aksi Argentina-England kini mencecah AS$2,841 (RM11,563), meningkat 34 peratus dalam tempoh tiga hari lalu.
Harga itu pernah melonjak sehingga AS$2,966 (RM12,072) pada Sabtu sebelum turun kepada AS$2,537 (RM10,326) keesokan harinya.
Perlawanan itu juga hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding tiket aksi penentuan tempat ketiga yang dijadual berlangsung di Miami pada Sabtu.
Harga tiket paling murah bagi perlawanan berkenaan adalah AS$1,543 (RM6,280).
Sementara itu, harga tiket final di Stadium MetLife pada Ahad kekal tinggi pada AS$6,760 (RM27,513) walaupun turun enam peratus dalam tempoh 72 jam lalu.
Untuk rekod, harga tiket final pernah mencapai AS$13,650 (RM55,556) pada Oktober tahun lalu sebelum turun kepada AS$12,301 (RM50,065) pada 21 Jun dan AS$9,911 (RM40,338) pada 6 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




