Arlington: Pengendali Perancis, Didier Deschamps, sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila kejayaannya membentuk sebuah pasukan yang mantap dan bersatu terus dipuji menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia menentang Sepanyol, Rabu ini.
Bagi jurulatih berusia 57 tahun itu, kekuatan sebenar Les Bleus bukan sekadar dibina menerusi bakat pemain bertaraf dunia, sebaliknya hubungan sesama anggota pasukan dan semangat kekitaan menjadi ramuan utama kejayaan mereka.
“Saya bangga memiliki pasukan ini,” kata Deschamps menjelang pertembungan yang dianggap ramai sebagai final lebih awal.
Menurutnya, setiap individu dalam kem Perancis, sama ada pemain, pembantu jurulatih mahupun kakitangan sokongan, memainkan peranan penting kerana semuanya berjuang demi kepentingan pasukan.
Pendekatan Deschamps mengemudi skuad penuh bintang itu sepanjang kejohanan turut mendapat pujian ramai apabila dia sendiri mempamerkan komitmen, disiplin dan semangat berpasukan yang diharapkan daripada anak buahnya.
Antara detik yang mencuri perhatian ialah ketika dia memberi penghormatan kepada Kylian Mbappe selepas aksi cemerlang penyerang itu menentang Sweden, menunjukkan kelegaan sebaik Perancis menewaskan Paraguay serta memeluk erat pemain sayap, Desire Doue, selepas kemenangan ke atas Maghribi pada suku akhir.
Bekas pertahanan Jerman, Mats Hummels, menyifatkan Deschamps sebagai jurulatih yang memiliki keupayaan luar biasa memimpin sesebuah pasukan.
Bekas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, turut memuji cara Deschamps berkomunikasi dengan pemain sehingga berjaya membentuk keserasian tinggi dalam kalangan barisan serangan, termasuk pemain Bayern Munich, Michael Olise.
“Sudah tentu ada seseorang yang berjaya membentuk mentaliti pemain sehingga mereka bermain seperti ini. Mereka tidak akan melakukannya sendiri,” kata Klopp.
Deschamps membimbing Perancis sejak 2012 dan dijangka mengakhiri tugasnya selepas tamat Piala Dunia kali ini, dengan legenda Perancis, Zinedine Zidane, disebut-sebut bakal mengambil alih.
Sebagai pemain, Deschamps mengemudi Perancis muncul juara dunia pada 1998 sebelum mengulangi pencapaian itu sebagai jurulatih pada 2018.
Hanya Franz Beckenbauer dan Mario Zagallo pernah meraih kejuaraan Piala Dunia sebagai pemain serta jurulatih, manakala Vittorio Pozzo kekal satu-satunya jurulatih yang memenangi trofi itu dua kali bersama Itali pada 1934 dan 1938.
Aksi menentang Sepanyol juga bakal menyaksikan Deschamps mencipta rekod baharu apabila mengendalikan perlawanan Piala Dunia buat kali ke-26, mengatasi rekod 25 perlawanan yang sebelum ini dikongsi bersama bekas jurulatih Jerman Barat, Helmut Schon.
Di bawah kendalian Deschamps, Perancis berubah menjadi sebuah pasukan yang cukup berdisiplin dan profesional, jauh berbeza berbanding skuad yang berdepan pelbagai konflik dalaman pada Piala Dunia 2010.
Kapten Kylian Mbappe turut menjadi contoh terbaik apabila bukan saja tajam di hadapan gol, malah sentiasa mengutamakan kepentingan pasukan.
Mbappe juga memberi sokongan moral kepada Deschamps selepas ibunya meninggal dunia ketika saingan peringkat kumpulan, selain berjanji sebelum kejohanan bermula untuk menghadiahkan “Piala Dunia terbaik sepanjang zaman” sebagai hadiah perpisahan kepada jurulatih itu.
Sekiranya Perancis menewaskan juara Eropah, Sepanyol, sebelum muncul juara di final nanti, impian itu pasti menjadi kenyataan buat Deschamps.
© New Straits Times Press (M) Bhd




