Alonso sokong pemain lakukan protes

Alonso sokong pemain lakukan protes

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso menyatakan sokongannya terhadap tindakan protes pemain La Liga berhubung keputusan liga tertinggi Sepanyol itu untuk menganjurkan satu perlawanan di Miami.

La Liga minggu lalu mengumumkan bahawa perlawanan di antara Barcelona menentang Villarreal akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) pada 20 Disember, menjadikannya perlawanan liga Eropah pertama yang dilangsungkan di luar benua itu.

Persatuan Pemain Bola Sepak Sepanyol (AFE) semalam berkata akan ada ‘protes simbolik’ pada permulaan setiap perlawanan La Liga minggu ini.

Pemain Oviedo dan Espanyol antara yang terlibat apabila mereka enggan bergerak selama 15 saat pertama perlawanan, walaupun siaran langsung perlawanan itu tidak memaparkan aksi berkenaan.

“Kami menentang penganjuran perlawanan itu kerana kami percaya ia tidak adil,” kata Alonso dalam sidang media.

“Tiada kata sepakat atau rundingan untuk ia diadakan di gelanggang berkecuali. Protes yang dibuat itu sesuatu yang positif, dan semangat di sebaliknya juga positif.

“Kami percaya ia boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak bersetuju, tetapi itu tidak berlaku,” katanya lagi.

Pendahulu La Liga, Real Madrid, akan berdepan Getafe pada Isnin ini dan Alonso berkata penyerang, Kylian Mbappe dijangka cergas untuk beraksi.

Bintang Perancis itu mengalami rasa tidak selesa di buku lali sejak dua minggu lalu dan terlepas aksi kelayakan Piala Dunia menentang Iceland.

“Semua pemain yang pulang daripada tugasan bersama pasukan kebangsaan masing-masing berada dalam keadaan baik, kecuali Dean (Huijsen),” kata Alonso.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top